KUCHING: Parti Sarawak Bersatu (PSB) tidak akan menjalinkan kerjasama dengan Parti Tindakan Demokratik (DAP) untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang, tegas Datuk Seri Wong Soon Koh.

Presiden PSB itu berkata, beliau ingin menjelaskan bahawa dakwaan bahawa pihak mereka akan bekerjasama dengan DAP itu adalah tidak benar.

“Perkara tersebut dilaporkan dalam media Cina hari ini, di mana ia mendakwa bahawa saya telah mengatakan PSB akan bekerjasama dengan DAP untuk PRN yang akan datang.

“PSB adalah parti Sarawak yang bebas sepenuhnya tanpa hubungan dengan pihak lain termasuk parti-parti yang berpangkalan di Semenanjung Malaysia,” ujarnya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, PSB akan bertanding dalam PRN12 pada masa yang akan datang.

“Sehingga kini, PSB telah mengenal pasti calon yang akan bertanding dalam 65 kawasan DUN.

“PSB masih terbuka untuk bertanding di 82 kerusi DUN jika kami mempunyai calon yang tepat,” tegasnya.

Terdahulu, PSB telah menerima ahli baru di mana mantan Pengerusi PKR Baru Bian dan Adun Batu Lintang See Chee How telah menyertai mereka dan mengesahkan perkara tersebut semalam.