KUCHING: Seorang lelaki tempatan yang mengaku bersalah memukul isterinya dan menyebabkan kecederaan didenda RM2,000 ataupun sebulan penjara kelmarin.

Majistret Zaiton Anuar mengarahkan lelaki berusia 39 tahun itu di denda setelah mengaku bersalah di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan di baca dengan Seksyen 326A kanun yang sama.

Tertuduh telah bergaduh dan menyerang isterinya dengan menumbuk pengadu di bahagian kepala dan muka dengan menggunakan penumbuknya.

Akibat daripada perbuatan tertuduh, pengadu yang berusia 30 tahun berkenaan mengalami lebam di muka dan mulut. Pergaduhan berkenaan berpunca daripada teguran isterinya terhadap tertuduh yang suka minum arak sehingga mabuk.

Tertuduh melakukan kesalahan itu jam 5.15 petang pada 25 Mei lalu di rumah mereka di penempatan setinggan di Kampung Siol Kandis Petra Jaya, di sini. Sementara itu dalam kes berasingan, seorang peniaga dikenakan denda RM1,500 ataupun 10 hari penjara setelah mengaku bersalah mengeluarkan kata-kata kesat di sekatan jalan raya dalam operasi Covid-19.

Mahkamah Majistret mengarahkan lelaki berusia 24 tahun berkenaan di denda setelah mengaku bersalah di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Tertuduh telah mengeluarkan kata-kata kesat berbunyi ‘lanchau’ terhadap seorang anggota penguat kuasa yang membantu polis melakukan sekatan jalan raya dalam operasi Covid-19. Kejadian berlaku di Jalan Lapangan Terbang jam 3.15 pagi pada 26 Mei lalu ketika Operasi Sekatan Jalan Raya menyebabkan tertuduh tidak berpuas hati terhadap tindakan berkenaan.