9 strategi pulihkan ekonomi

KUCHING: Ketua Menteri semalam mengumumkan sembilan strategi untuk tempoh 10 tahun bagi sembilan sektor utama di Sarawak dalam memulihkan pascaCovid-19.

Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, sektor ekonomi utama di Sarawak ini akan dikembangkan berdasarkan dua prinsip iaitu ekonomi digital dan kelestarian alam sekitar.

“Bagi meningkatkan produktiviti dan daya saing ekonomi , kita akan memperhebatkan agenda ekonomi digital di seluruh sektor negeri ini.

“Selain itu, pusat data memainkan peranan penting untuk melonjak inovasi dalam bidang aplikasi digital,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas bertemakan Strategi Pemulihan Ekonomi Pasca-Covid-19 sehingga 2030 di Wisma Bapa Malaysia di sini.

Tambah Abang Johari, persekitaran yang lestari akan menonjol dalam rancangan pembangunan masa depan Sarawak.

“Kita akan pastikan Sarawak mencapai persekitaran yang bersih, sihat dan mampan untuk generasi sekarang dan akan datang.

“Kesan yang ditimbulkan oleh pandemik Covid-19 ialah kebiasaan baharu di seluruh dunia apabila kita tidak lagi dapat melakukan urusan seperti biasa,” jelasnya.

Menurutnya, ia merupakan senario yang belum pernah dialami dan memerlukan cara baharu untuk melakukan sebarang perkara pada masa ini serta masa depan.

“Oleh itu, kita telah mengkaji semula strategi pembangunan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) untuk memulihkan kesan ekonomi yang teruk akibat Covid-19 agar kekal berdaya saing, sesuai dengan kebiasaan baharu serta mempromosikan pertumbuhan dan pembangunan ekonomi masa depan.

“Ini kerana pandemik Covid-19 menimbulkan kos yang tinggi untuk kehidupan manusia di seluruh dunia sekali gus memberi kesan yang teruk terhadap kegiatan ekonomi,” ujarnya.

Hadir sama Timbalan-timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas; Tan Sri James Jemut Masing; Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan serta barisan kabinet negeri.

Suara Sarawak