Aktiviti ekonomi Sarawak dibuka ansur-ansur mulai 12 Mei

KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak telah memutuskan untuk membiarkan aktiviti ekonomi dibuka secara beransur-ansur mulai 12 Mei 2020, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Katanya yang juga pengerusi JPBN, keputusan itu dibuat setelah menganalisa keadaan berdasarkan enam kriteria yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Masih banyak yang perlu dilakukan. Bagaimanapun, kita perlu mengimbangkan antara kesihatan masyarakat dan kesan ekonomi kepada negara,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Menurut Uggah yang merupakan Menteri Kewangan II, JPBN Sarawak dengan pakar perubatan telah mengkaji keadaan di Sarawak menggunakan enam kriteria iaitu Penularan Terkawal (Minggu Epidemiologi) dan keupayaan tambahan dalam sistem kesihatan telah disediakan untuk mengesan.

Selain itu ialah merawat dan mengasingkan pesakit bagi meminimumkan risiko wabak dalam persekitaran khas seperti pusat penjagaan, langkah pencegahan telah diambil/dilaksanakan, risiko penting dapat diurus dan komuniti diajar untuk menyesuaikan diri dengan norma baharu.

Bagi kriteria Penularan Terkawal, beliau berkata Sarawak berjaya mengurangkan Kadar Insiden Mingguan (IR) dari 2.43 setiap 100,000 populasi pada minggu epid (EW) 17 hingga 1.38 pada EW 18.

“Hari ini kita berada di EW19 dengan EW hanya 0.78 per 100,000 penduduk, manakala IR mingguan untuk Malaysia ialah 1.32,” katanya.

Katanya orang ramai juga telah menerima dan menerapkan amalan memakai pelitup muka, penjarakan sosial dan membersihkan/ mencuci tangan dalam rutin harian.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak