Bersatu tiada hasrat balik ke pangkuan PH

KUALA LUMPUR: Bersatu tidak  pernah membincangkan dan tidak berhasrat kembali ke pangkuan Pakatan Harapan (PH) selepas meninggalkan gabungan itu.

Menurut, Ketua Penerangannya, Dr Radzi Jidin, Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad juga tidak mempunyai kuasa untuk menandatangani kenyataan bersama PH dan Warisan bagi pihak Bersatu bertarikh 4 Mei lepas yang menggesa diadakan sidang penuh parlimen. Persidangan parlimen dijadualkan sehari pada 18 Mei ini.

Tegas beliau, kenyataan timbalan presiden Bersatu, Datuk Ser Mukhriz Mahathir yang menyeru ahli parti supaya bekerjasama semula dengan PH adalah pendirian peribadi dan tidak melambangkan pendirian rasmi Bersatu.

“Saya ingin menjelaskan bahawa Bersatu tidak pernah membincangkan perkara ini dan tidak berhasrat untuk menyertai semula PH,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelas Radzi, sebarang usaha untuk membawa Bersatu bekerjasama dengan PH adalah bercanggah dengan keputusan rasmi parti.

Pada 23 Februari lalu, Bersatu yang dipimpin Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat keputusan keluar PH yang menyaksikan kejatuhan kerajaan PH.

“Adalah menjadi tanggungjawab setiap ahli parti untuk sentiasa mematuhi keputusan yang dibuat oleh parti serta melaksanakan dasar parti.

“Saya ingin mengingatkan mana-mana ahli yang ingkar termasuk dengan sengaja menyertai gabungan parti lain yang bercanggah dengan pendirian parti adalah tergugur keahliannya secara serta-merta menurut Fasal 10.2.3 Perlembagaan Bersatu,” katanya.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak