BSN bergerak beroperasi di Pakan hujung minggu ini

PAKAN: Masyarakat di sini menarik nafas lega apabila Bank Simpanan Nasional (BSN) akan membuka kaunter perkhidmatannya pada hujung minggu ini.

Adun Pakan, Tan Sri William Mawan berkata, perkhidmatan seumpama itu merupakan perkhidmatan perintis yang diadakan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ia bagi memenuhi keperluan penduduk, khususnya yang berada di luar bandar di sekitar Pakan.

“Langkah itu juga amat sesuai dengan sebagai mematuhi PKP yang sedang dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Suara Sarawak selepas menghadiri taklimat ringkas serta memantau persiapan di Dewan Masyarakat Pakan semalam.

Mawan turut yakin dengan keberadaan pihak bank ke Pakan akan membantu mengurangkan bilangan rakyat di daerah ini keluar ke Sarikei bagi mendapatkan perkhidmatan terbabit.

“Kita menyedari kesukaran yang dihadapi oleh masyarakat sejak sebulan lalu apabila setiap pagi, ramai penduduk berbaris panjang untuk mendapatkan slip kebenaran daripada polis sebelum dibenarkan ke Sarikei.

“Sehubungan itu, kita mengambil inisiatif untuk bekerjasama dengan pihak BSN membuka kaunter bergerak di Dewan Masyarakat Pakan bermula jam 8.30 pagi sehingga 2.30 petang pada 10 dan 11 Mei nanti,” jelasnya.

Tambahnya, antara perkhidmatan yang bakal disediakan ialah semakan akaun berkaitan Bantuan Prihatin Nasional, Bantuan Sara Hidup, Bantuan Khas Sarawaku Sayang dan pengeluaran wang.

“Saya menggesa semua penduduk yang akan menggunakan perkhidmatan BSN nanti agar memberi kerjasama sepenuhnya dan mematuhi segala SOP PKP serta mendengar segala arahan dari para petugas.

“Perkara paling penting ialah mematuhi penjarakan sosial termasuk mengehadkan jumlah pelanggan dalam satu masa,” ujarnya.

Beliau turut berharap agar BSN dan perbankan yang lain-lain memberi perkhidmatan sama kepada penduduk luar bandar pada masa akan datang.

Semua pelanggan diwajibkan untuk mencuci tangan dan bacaan suhu badan turut diambil.

Sekiranya pelanggan didapati mempunyai simptom-simptom Covid-19, ia akan dirujuk kepada Klinik Kesihatan Pakan.

Pihak petugas juga telah dimaklumkan agar memberi keutamaan kepada wanita mengandung, warga emas dan golongan OKU.

Sesi taklimat dan kerja pemantauan semalam turut dihadiri oleh Pegawai Daerah Pakan, PDRM, RELA dan APM.

Dalam masa yang sama, Mawan dan penduduk Pakan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Bank Negara Malaysia, BSN dan semua agensi kerajaan pusat dan negeri dan badan bukan kerajaan kerana berusaha membawa perkhidmatan kaunter bergerak BSN ke Pakan.

Usaha tersebut adalah keputusan dari penyelarasan kerjasama oleh semua pihak.

Suara Sarawak