Covid-19: Bekalan makanan negara mampu bertahan

SERIAN: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Alexander Nanta Linggi memberi jaminan bekalan makanan adalah mencukupi bagi seluruh negara walaupun trend jangkitan Covid-19 meningkat lagi.

Beliau berkata kementeriannya bersama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan bekerjasama dalam memantau dan memastikan bekalan makanan negara dapat bertahan.

“Kami akan memastikan semua jenis makanan asas boleh bertahan walaupun Covid-19 berterusan beberapa bulan lagi,” katanya pada sidang media sempena ‘walkabout’ di Pasar Basah Serian di sini, hari ini.

Alexander berkata ia khususnya bagi bekalan makanan asas seperti beras walaupun berdepan kekangan apabila Vietnam bertindak menghentikan import ke Malaysia.

Justeru, katanya inisiatif telah diambil dengan mendapatkan bekalan dari negara sumber lain bagi memastikan stok beras negara tidak terputus.

“Seperti daging, kita mengimport dari India…begitu juga beras, waaupun Vietnam tidak lagi mengimport ke Malaysia tetapi kita sudah mendapat bekalan dari sumber lain seperti Thailand dan Myanmar.

“Kita sudah berunding dengan mereka untuk memastikan bekalan makanan sentiasa ada untuk negara,” katanya.

Suara Sarawak