Dakwaan Wong Soon Koh tidak betul

KUCHING: Tuduhan dan dakwaan Adun Bawang Assan Datuk Seri Wong Soon Koh bahawa Kerajaan Sarawak bersetuju dengan keputusan Petronas membayar RM2 bilion dan bukannya RM6.775 bilion adalah tidak betul.

Lima cawangan SUPP bahagian Sibu dalam satu kenyataan bersama menjelaskan bahawa RM2 bilion adalah untuk cukai jualan hasil (SST) petroleum dan gas  bagi 2019.

Cawangan terbabit ialah Bukit Assek, Bawang Assan, Nangka, Pelawan dan Dudong.

“Adalah amat jelas bahawa Ketua Menteri dalam ucapan Belanjawan 2019 dan 2029 menyatakan bahawa RM6.775 bilion adalah untuk tempoh dua tahun bagi semua produk petroleum yang akan dikutip daripada semua syarikat minyak seperti Petronas, Shell dan lain-lain.

SST diperkenalkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mulai Januari 2019.

Minggu lalu, Wong mengeluarkan kenyataan bahawa Kerajaan Negeri sepatutnya mendapat bayaran RM6.775 daripada syarikat minyak berkenaan, dan bukannya RM2 bilion.

Kata mereka, memandangkan Wong pernah menjadi menteri kewangan selama 15 tahun, beliau sepatutnya tidak membuat  perkiraan salah.

Abang Johari sebelum itu turut menafikan dakwaan dan tuduhan pihak tertentu termasuk pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan serta netizen bahawa  Kerajaan Sarawak menyerahkan hak ke atas minyak dan gas kepada Putrajaya.

Tegas beliau,  tiada perjanjian dibuat antara Kerajaan Sarawak dengan Petronas mengenai cukai hasil jualan minyak dan gas dan ia tidak menyerahkan hak terhadap gas dan minyak  di negeri ini kepada syarikat minyak itu.

Tegas  Ketua Menteri, minyak dan gas di Sarawak dikawal selia oleh Ordinan Perlombongan Minyak 1958. 

“Akta Pembangunan Minyak (PDA 1974)  hanya untuk negeri-negeri lain di Malaysia, tetapi   bagi Sarawak yang mengawal selia ialah Ordinan Perlombongan Minyak 1958,” katanya.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak