Disiplin ketat kekal cergas

PENJAGA gol Kuching FA menyifatkan jadual latihan kecergasan fizikal sedikit berbeza sepanjang bulan Ramadan yang masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Mohd Iqbal Suhaimi, 35, pemain yang berasal dari Pahang itu menyatakan agak sukar untuk kekal cergas dalam bulan Ramadan kerana jadual pemakanan dan waktu rehat yang berbeza.

“Bagaimanapun, latihan tetap diteruskan tetapi lebih ringan jika dibanding dengan bulan-bulan sebelum latihannya lebih berat.

“Alhamdulillah, selama tempoh PKP ini latihan tidak menjadi masalah buat saya kerana latihan kita dibimbing oleh jurulatih fizikal dan kita akan sentiasa kemas kini latihan semasa melalui aplikasi telefon pintar whatapps,” katanya semasa dihubungi oleh Suara Sarawak.

Beliau berkata, perkara yang paling penting adalah menjaga pemakanan dan rehat yang cukup serta terus membuat latihan walaupun sekejap.

Jelasnya, sepanjang tempoh PKP beliau lebih banyak meluangkan masa bersama isteri dan anak-anak. “Sebelum ini, masa bersama keluarga agak terbatas sedikit kerana faktor kerja seperti perlawanan liga di tempat lawan dan komitmen latihan bersama pasukan.

“Jadi semasa PKP ini ada hikmahnya juga apabila dapat membantu isteri di dapur dan melihat anak-anak membesar di depan mata,” katanya lagi.

Sementara itu, beliau juga berharap agar liga disambung semula seperti biasa.

“Saya berharap perlawanan liga kita dapat di sambung semula kerana sebagai pemain bola sepak profesional ia adalah punca rezeki kami.

“Namun begitu, kita juga kena patuh dengan arahan kerajaan dan juga Persatuan Bola Sepak Malaysia demi keselamatan semua pihak,” ujarnya.

Iqbal antara penjaga gol yang berpengalaman dalam arena bola sepak Malaysia apabila pernah bersama lima pasukan di negara ini.

Antara pasukan yang beliau sertai adalah Pahang FA, Proton FC, Selangor FA, T-Team dan Sarawak FA.

Selain itu, Iqbal juga pernah menjadi penjaga gol kebangsaan pada tahun 2008.

Suara Sarawak