Feri Sungai Krian beroperasi semula

KABONG: Perkhidmatan feri Sungai Krian yang beroperasi semalam melegakan pengguna Jalan Pesisir kerana melancarkan pergerakan khususnya dalam kalangan warga setempat.

Difahamkan, hanya sebuah feri beroperasi bermula enam pagi sehingga 10 malam.

Bermula 24 Mac lalu, perkhidmatan feri tersebut dihentikan ekoran penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Adun Kabong Mohd. Chee Kadir berkata, pengoperasian semula perkhidmatan feri Sungai Krian sesuatu yang ditunggu-tunggu pengguna Jalan Pesisir.

“Ini kerana ia memudah dan melancarkan perjalanan setiap pengguna bukan sahaja penduduk setempat, tetapi juga orang luar,” katanya kepada Suara Sarawak, semalam.

Bagaimanapun katanya, pengendalian feri juga tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

“Justeru, saya berharap pengguna jalan raya mematuhi langkah-langkah keselamatan yang ditetapkan… terima kasih kepada Jabatan Kerja Raya (JKR),” ujarnya.

Turut bersetuju dengan pengoperasian semula perkhidmatan feri Sungai Krian ialah Kaunselor Mohamad Duri.

Menurutnya, ia langkah yang selari dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikuatkuasakan bermula 12 Mei. “Akhirnya masyarakat setempat dapat menikmati kemudahan feri Sungai Krian.

“Pembukaannya akan mempercepatkan perjalanan dari Pusa ke Kabong dan kampung sekitar seperti Kaba, Empelam, Sessang, Nyabor, Alit dan Grigat yang berada di sepanjang jalan utama Pusa-Kabong,” jelasnya.

Katanya, setiap SOP PKPB tidak harus diambil mudah biarpun JKR bersetuju membuka semula perkhidmatan feri tersebut. JKR dalam kenyataan memberitahu, jadual baharu operasi feri di seluruh Sarawak antaranya Batang Rambungan dan Kuala Igan, yang beroperasi dari empat pagi hingga 12 tengah malam (feri satu) dan enam pagi hingga lapan malam (feri dua) sepanjang PKPB. Terdapat tiga feri beroperasi di Batang Lupar iaitu dari jam 4.00 pagi hingga 12.00 tengah malam, 6.00 pagi hingga 8.00 malam dan 8.00 pagi hingga 10.00 malam.

Feri di Batang Saribas pula beroperasi bermula dari jam 4.00 pagi hingga 12.00 tengah malam (feri dua) dan 6.00 pagi sehingga 10.00 malam (feri satu).

Sementara di Batang Paloh dan Muara Lassa, operasi bermula dari jam 6.00 pagi hingga 8.00 malam dan 6.00 pagi hingga 12.00 tengah malam.

Manakala hanya sebuah feri bagi kawasan lain seperti Sungai Lidan dan Batang Lawas (6.00 pagi hingga 10.00 malam), Sungai Sian (5.00 pagi hingga 11.00 malam), Batang Kemena (5.00 pagi hingga 10.00 malam) dan Sungai Limbang (5.00 pagi hingga 8.00 malam)

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak