Fokus kerja amal sepanjang PKP

KUCHING: Walaupun dikenali sebagai kelab sukan permotoran, Puaka Bike Community (PBC) aktif melaksanakan kerja amal dalam membantu masyarakat menggunakan insiatif sendiri menerusi perkhidmatan penghantaran barang.

Pengerusi PBC Supiyan Arsat, 54 berkata, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pihaknya menyediakan khidmat penghantar barangan melibatkan 10 ahli.

“Kami tidak pernah menyediakan khidmat ini. Sepanjang PKP kami bantu orang ramai beli barang keperluan… hasil (upah) kami guna untuk bantu mereka yang memerlukan,” katanya kepada Suara Sarawak.

Menurutnya, hanya 10 ahli dibenarkan oleh polis menjalankan khidmat itu dan telah menghantar barang hingga ke Bau, Lundu dan Sematan menggunakan motosikal berkuasa tinggi Vulcan S 640cc.

“Kami hanya menggunakan motosikal biasa (kuasa rendah) untuk khidmat di Kuching dan Samarahan,” katanya lagi.

PBC jelasnya, mahukan masyarakat mengenali kelab itu bukan hanya pada nama (Puaka), tetapi juga kerja amal yang dilaksanakan.

“Ia hanya nama (Puaka). Jangan pandang rendah PBC sebagai kelab permotoran. Kami juga ingin membantu orang lain,” katanya dan menambah kelab itu kini dianggotai 350 ahli yang turut bergabung dengan kelab permotoran dari Indonesia, Brunei, Sabah dan Semenanjung Malaysia.

Bantu petugas barisan hadapan Sementara itu, Penasihat PBC Lisna Lisdiawati berkata, kelab itu baru-baru ini mengagihkan juadah berbuka puasa kepada petugas barisan hadapan menerusi Program Jejak Insani Bersama Puaka Komuniti 2020 dengan sokongan serta kerjasama 24 kelab permotoran lain.

“Kami menyediakan juadah berbuka puasa kepada petugas bariasan hadapan yang melaksanakan tanggungjawab semasa PKP,” katanya.

Mengenai khidmat penghantar barang ujarnya, caj yang diperoleh termasuk hasil jualan produk kelab diguna untuk membantu golongan memerlukan.

“Sehingga kini kami telah bantu 80 rumah di Sematan, Lundu, Simunjan, Serian, Kuching dan Samarahan.

“Kami berikan beras, tepung dan makanan lain. Kami tidak minta daripada pihak lain kerana kami mahu membantu dengan usaha sendiri,” katanya.

Suara Sarawak