Gagal seludup barangan terkawal melalui sempadan Tebedu-Kalimantan

KUCHING: Cubaan sekumpulan pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Indonesia bersama penduduk tempatan menyeludup barangan terkawal melalui sempadan Tebedu, Sarawak-Kalimantan, Indonesia gagal apabila mereka ditangkap Pasukan Batalion ke-10 Rejimen Renjer Diraja (10 RRD).

Mereka yang terdiri daripada 20 lelaki dan tujuh wanita warga Indonesia serta tiga lelaki dan seorang wanita tempatan ditahan kira-kira jam 7.30 malam semalam.

Menurut Sel Perhubungan Raya Markas 1 Divisyen dalam satu kenyataan hari ini, barangan yang cuba diseludup kumpulan terbabit adalah seperti bawang, sosej, Maruku Ikan, daging beku, tong racun dan wang tunai berjumlah
RM 27,500.

“Semasa operasi dilaksanakan, sebuah kereta SUV Wolkswagen Toureg dan sebuah lori satu tan yang mencurigakan bersama sekumpulan warga Indonesia dilihat datang dari arah Malaysia dalam perjalanan menuju ke sempadan Indonesia (600 meter dari sempadan Malaysia/Indonesia).

“Anggota telah bertindak menahan kenderaan tersebut dan membuat pemeriksaan pada lori dan kumpulan warga Indonesia.

 

“Hasil pemeriksaan menemui muatan yang penuh dengan bekalan makanan asas yang cuba diseludup keluar dari Malaysia,” katanya.

Kenyataan itu menambah kesemua mereka yang ditangkap termasuk lori, kereta dan motosikal yang dirampas dengan nilai keseluruhan RM 169,154.65 telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian untuk tindakan lanjut.

“Melihat kepada perkembangan semasa penularan wabak Covid-19 di Sarawak dan Kalimantan, pihak ATM sentiasa berwaspada dan siap sedia dalam menangani sebarang ancaman terutama isu jenayah rentas sempadan dan penyeludupan barangan terkawal,” katanya.

Suara Sarawak