Hari Pekerja:  Anda perlu bersedia berdepan kesukaran dalam hidup

Hari ini tenaga kerja di Malaysia meraikan sambutan Hari Pekerja.

Kita menyambutnya dalam keadaan yang penuh ujian dan mencabar.

Namun, berbeza daripada Hari Pekerja sebelum ini, Hari Pekerja pada tahun ini diraikan dalam suasana yang berbeza. Kita sedang diserang virus pembunuh yang menggerunkan. 

Bukan sahaja tidak terdapat perhimpunan, tetapi ia disambut dalam keadaan muram.

Ya, Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membawa kesan besar kepada semua sektor dan peringkat pekerjaan. 

Berdasarkan laporan media, yang terkesan teruk ialah sektor perhotelan dan pengangkutan. 

Malah, bidang media juga tidak terkecuali. Banyak hotel mengumumkan akan menutup operasi untuk selama-lamanya atau sementara, manakala dalam beberapa hari ini syarikat media juga sama ada mengurangkan kekerapan penerbitan atau menutup terus syarikat mereka.

Di Amerika Syarikat dijangkakan lebih daripada 22 juta akan hilang pekerjaan.

Hakikatnya, pekerja di seluruh dunia, termasuk di negara ini akan berdepan realiti pahit.

Banyak kilang, syarikat kecil dan sederhana akan tutup. Apabila tempat bekerja tutup terus, bermakna ramai yang akan hilang pekerjaan. Apabila hilang pekerjaan bermakna akan hilang pendapatan.

Hari-hari mendatang ialah hari-hari kelabu. Dengan tiada tabungan atau wang simpanan, bagaimanakah golongan bergaji hari dan hilang pekerjaan ini dapat meneruskan kehidupan?

Ini sesuatu yang menyedihkan. Betapa tidak, bagaimanakah mereka hendak membeli susu anak, barang keperluan harian, membayar sewa rumah, motosikal, kereta dan sebagainya?

Hakikatnya, pekerja ialah aset syarikat dan negara. Negara yang punya pekerja mahir, berpengalaman dan berbakat, akan memacu kejayaan dan pertumbuhan ekonomi.

Dalam keadaan hari ini, bukan sahaja doktor, jururawat dan pekerja lain di hospital memainkan peranan penting, tetpasi juga pekerja di luar. Ini termasuk penghantar makanan, mereka yang membuang sampah, polis, tentera dan banyak lagi. Mereka bertugas tanpa mengenal penat lelah.  Jasa dan pengorbanan  mereka  perlu dihargai.

Mereka ini ialah tunjang kekuatan negara ketika ini.

Dalam keadaan sekarang, banyak sektor dan syarikat berdepan cabaran. Pengorbanan dan tolak ansur kedua-dua pihak amat penting. Jangan sampai syarikat ditutup dan pekerja hilang tempat bergantung.

Kalaupun PKP dicabut selepas 12 Mei nanti, syarikat dan sektor terbabit memerlukan waktu lama untuk pulih. Ia tidak mungkin pulih dalam tiga atau enam bulan. Perjalanan untuk kembali pulih tentu panjang dan sukar.

Sesungguhnya, dalam keadaan sekarang, kedua-dua pihak, majikan dan pekerja perlu berpegang kepada peribahasa: Berat sama dipikul ringan sama dijinjing.

Selamat menyambut Hari Pekerja kepada semua.

Suara Sarawak