Jalan Penrissen sesak teruk

KUCHING: Jumlah kenderaan di atas jalan raya bertambah mendadak hari ini, menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk pagi tadi.

Antaranya daripada Batu 6, Jalan Penrissen, yang menjadi laluan utama menghubungkan pusat bandar raya ini.

Menurut seorang kakitangan bank yang enggan namanya didedahkan, kesesakan lalu lintas menyebabkannya lewat sampai ke tempat kerja.

“Kesesakan teruk..dari 7.30 pagi saya di hadapan Kuching Sentral sehingga sekarang (8.20 pagi) belum lagi limpas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK),” katanya ketika dihubungi.

Seorang lagi pengguna jalan raya yang juga turun bekerja turut menyatakan perkara sama, di mana kesesakan bermula dari Jalan Penrissen menuju ke Jalan Lapangan Terbang dan juga Batu 4, Jalan Penrissen.

“Saya tidak pasti sama ada orang turun bekerja atau tidak tetapi jalan memang sesak teruk,” katanya yang juga dihubungi.

Namun, tidak dipastikan sama ada kesesakan kenderaan lebih-lebih lagi pagi tadi adalah kerana orang ramai sudah mula bekerja atau sekadar untuk melakukan rutin harian termasuk membeli barangan keperluan.

Jumaat lalu,dalam perutusan khas sempena Hari Pekerja, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bermula hari ini hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan termasuk premis makanan membabitkan restoran dibenarkan beroperasi mengikut syarat yang ditetapkan.

Bagaimanapun, kebenaran itu tidak terpakai di Sarawak apabila kerajaan negeri mengambil keputusan untuk tidak melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seperti yang diputuskan kerajaan Pusat.

Segala keputusan mengenai penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Sarawak akan kekal seperti sebelum ini.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak