Jangan balik Sarawak dulu

SIBU: Anak perantauan di negeri ini disarankan tidak pulang ke Sarawak semata-mata untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri dan Hari Gawai Dayak hujung bulan ini dan awal Jun, demi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.

Adun Bukit Assek Irene Chang berkata, oleh itu Kerajaan Negeri diminta supaya menyekat perjalanan antara negeri/daerah/bahagian di Sarawak sempena kedua dua perayaan tersebut.

“Suasana balik kampung buat masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini harus kita sekat dulu.

“Kedua-dua perayaan tersebut juga boleh kita raikan kemudian selepas keadaan pulih kelak.

“Saya rasa soal kesihatan dan nyawa lebih penting daripada meraikan sesuatu perayaan.

“Ini bagi mengekang jumlah anak-anak perantauan akan pulang secara beramai-ramai kelak ketika perayaan tersebut,” katanya.

Beliau mahu anak perantauan negeri ini memikirkan soal kesihatan dan nyawa berbanding keriangan untuk pulang menyambut perayaan tersebut.

“Jika mereka tidak pulang, saya rasa risiko jangkitan Covid-19 ini dapat kita kurangkan.

“Saya bimbang kerana ramai anak Sarawak yang bekerja di Semenanjung Malaysia.

Jika mereka balik ke Sarawak dikhuatiri banyak perkara akan timbul nanti.

“Oleh itu, saya memohon Kerajaan Negeri untuk menghalang serta menyekat anak perantau kita daripada pulang ke Sarawak,” jelasnya lagi.

Tambahnya, usaha semua masyarakat dan rakyat sangat diperlukan untuk bersama-sama memerangi wabak pandemik itu.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Lanang Alice Lau juga menggesa kerajaan supaya menyekat anak perantauan negeri ini dari balik ke Sarawak semata-mata meraikan kedua-dua sambutan tersebut.

“Kalau hendak balik ke Sarawak mestilah mempunyai alasan yang kukuh dan munasabah.

“Kalau setakat balik kampung untuk meraikan perayaan tersebut, saya rasa tidak perlu buat masa ini.

“Kedua-dua perayaan itu boleh kita raikan kemudian selepas keadaan pulih.

“Perayaan tidak penting tapi nyawa dan kesihatan adalah satu aspek yang sangat penting kerana ia tidak boleh kita cari ganti,” tegasnya lagi.

Beliau menyifatkan virus Covid19 ini adalah sukar dilihat kerana seseorang itu boleh dijangkiti tanpa gejala yang ditunjukkan.

“Itulah Covid-19 ini agak sukar kita ramalkan. Sebab itu, saya sangat bersetuju agar kerajaan negeri menyekat anak-anak perantauan balik ke Sarawak pada musim perayaan ini.

“Kita tidak mahu mereka yang balik kelak akan menjadi penyebar kepada jangkitan Covid-19.

“Soal perayaan ini kita ketepikan dahulu. Lepas keadaan betul-betul pulih, barulah kita boleh meraikan perayaan tersebut dengan kemenangan kita mahupun negara memerangi Covid-19 ini.

Nyawa adalah penting sekarang,” tambahnya lagi.

Suara Sarawak