Kastam lumpuhkan sindiket penyeludupan rokok di Lundu

KUCHING: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan kegiatan sindiket penyeludupan rokok yang dianggarkan bernilai RM168,731 termasuk cukai menerusi satu penjejakan, intipan dan serbuan di Lundu.

Pengarah Kastam Sarawak Datuk Sharifah Halimah Taha berkata sebanyak 9,370 katun rokok (187,400 batang) telah disita dengan jumlah anggaran nilai barang sitaan sebanyak RM40,952 serta jumlah anggaran amaun duti Kastam sebanyak RM127,779.20.

“Serbuan telah dilakukan ke atas sebuah rumah kediaman terpencil di kawasan Lundu yang dijadikan stor simpanan semua rokok ini.

“Kejayaan ini adalah hasil maklumat dan risikan sejak kira-kira seminggu lepas sehingga serbuan dilakukan iaitu sekitar jam 2.45 petang semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah modus operandi sindiket adalah menggunakan sebuah rumah kediaman terpencil sebagai stor penyimpanan rokok putih dan kretek berkenaan untuk mengelirukan pihak berkuasa.

Rokok seludup yang dirampas dari sebuah rumah kediaman terpencil di kawasan Lundu yang dijadikan stor simpanan.

Katanya barangan tersebut dipercayai disimpan untuk dijual ke pasaran tempatan di sekitar Daerah Bau, Lundu dan Sematan.

“Rokok pelbagai jenama tersebut dipercayai stok bekalan yang baru sampai untuk pasaran dan memenuhi permintaan sempena perayaan Gawai Dayak yang bakal tiba,” katanya.

Sharifah berkata semua rokok yang disita telah dibawa ke Stor Penguatkuasaan Demak Laut untuk simpan selamat dan siasatan lanjut.

Katanya seorang lelaki yang disyaki pemilik rumah berkenaan juga ditangkap dalam serbuan tersebut untuk membantu siasatan.

Beliau berkata kes akan disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, di mana jika sabit kesalahan akan didenda tidak kurang dari 10 kali ganda amaun duti Kastam atau RM100,000 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai amaun duti Kastam atau RM500,000 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar, atau pun penjara tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

Justeru, beliau menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan barang larangan atau kawalan tanpa permit import dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855, laman sesawang aduan awam iaitu http://aduan.customs.gov.my atau mana-mana Pejabat Kastam yang berhampiran di seluruh negeri.

“Kami memberi jaminan identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan,” katanya.

Suara Sarawak