Katak pintar melompat lagi

KUCHING: “Kami katak yang bijak dan pintar kerana lompat parti. Hanya katak bodoh yang memilih untuk kekal,” kata bekas Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Sarawak Baru Bian.

Ahli Parlimen Selangau itu berkata, politik merupakan satu perkara dinamik dan sentiasa berubah kerana itu, pemimpin juga turut berubah.

“Saya keluar dari PKR. Parti ini tidak lagi relevan kerana lari daripada matlamat asal. Kami tidak mempunyai pilihan. Kami tekad tinggalkan parti.

“Apabila kami menyertai PKR, kami anggap ia sebuah parti pelbagai kaum. Parti yang memperjuangkan keadilan untuk semua orang,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PSB di sini, semalam.

Ahli PSB yang baharu itu menjelaskan, perjuangan dalam PKR sudah lari daripada misi dan visi asal,

“Kami tinggalkan parti. Anda menjadi orang yang kurang bijak, jika memilih untuk kekal bersama PKR,” katanya.

Beliau yang juga Adun Ba’kelalan itu menambah, beliau menyokong bekas Naib Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali berbanding Presiden Parti Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Azmin merupakan pemimpin yang lebih menonjol. Beliau dapat membawa perubahan dan menyampaikan beberapa perkara dan janji dalam parti.

“Justeru, kami melihat pilihan Azmin dan saya keluar pada saat terakhir kerana apa yang mereka putuskan bukan apa yang saya percaya,” jelasnya merujuk kepada sokongan beliau kepada Tun Mahathir Mohamad pada penghujung Februari lalu.

Baru juga berbincang dengan dua ahli PKR iaitu Ali Biju dan Willie Mongin untuk membawa mereka menyertai PSB.

“Mereka matang dari segi politik untuk membuat keputusan sendiri. Mereka kata mereka akan fikir dahulu mengenai perkara itu,” katanya lagi.

Baru terlibat dalam politik sejak 1987 apabila menyertai Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS).

Pada 1991, beliau bertanding di Lawas tetapi kalah. Pada 2004, beliau keluar daripada PBDS dan bertanding di Dun Ba’kelalan sebagai calon Bebas, namun juga kalah.

Dua tahun berikutnya, beliau menyertai Kongres Dayak Sarawak (MDC), malangnya parti itu tidak didaftarkan, menyebabkan Baru melompat kepada parti SNAP.

Peguam NCR itu kemudian menyertai PKR Sarawak pada 2008 sebelum dilantik sebagai Pengerusinya, dalam tempoh 12 bulan.

Pada tahun 2011 beliau menang di kerusi Ba’kelalan atas tiket PKR, dan pada 2018, menang di Parlimen Selangau, sebelum dilantik Menteri Kerja Raya. Jawatan menterinya gugur pada Februari lalu selepas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan, dan ekoran Langkah Sheraton, Baru dan kumpulan yang menyokong Azmin disingkirkan daripada PKR.

Beliau menjadi ahli parlimen tanpa parti selepas itu, manakala dua lagi rakan karibnya, Ali Biju dan Willie Mongin memilih menyertai Azmin dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak