Keistimewaan anak autisme

BAGI Faizul Khalid, 40, membesarkan anak autisme sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dimanfaatkan sepenuhnya bagi memantapkan lagi kekuatan diri anaknya.

Kini, dia turut berjauhan daripada isteri kini bertugas sebagai juruwat di Hospital Umum Sarawak (HUS) dan perlu duduk di rumah untuk menjaga salah seorang daripada dua anak mempunyai masalah autisme iaitu anak sulungnya Iskandar Zulkharnain, 9.

Suara Sarawak berkesempatan menghubunginya bagi berkongsi kisah hidupnya bersama-sama anaknya sepanjang PKP ini.

Faizul memberitahu dia sudah biasa berjauhan dengan keluarga dan kini isterinya pula sebagai jururawat terpaksa berjauhan lama dan terpaksa dikuarantin jauh di rumah serta meneruskan tugas hariannya.

Malah tahun ini tidak dapat berbuka berpuasa bersama-sama.

“Sebelum ini, saya pernah hampir berjauhan daripada keluarga apabila tinggal di Kapit menjadikan tiada masalah bagi saya dan paling penting sentiasa berdoa agar isterinya dan barisan hadapan lain terus terhindar daripada segala wabak penyakit ini,” katanya.

Kali terakhir berjumpa dengan isterinya adalah beberapa minggu lalu dan kini terus bekerja sehingga wabak Covid-19 reda dan masa anak-anak banyak diluangkan bersama-sama.

Dia turut mengakui menjaga anak istimewa, Iskandar Zulkharnain bukan mudah, tetapi mereka mampu seperti kanak-kanak normal sekiranya mendidik dengan cara yang betul.

“Terdapat situasi kita perlu mengasah bakat mereka untuk menjadi lebih mahir dan terus belajar,” jelasnya.

“Oleh itu, kami tahu Iskandar mempunyai autisme dan kami berikan dia menjalani program intervensi awal secara konsisten dan dilatih sehingga enam tahun dan seterusnya bersekolah,” katanya.

Sepanjang PKP ini, dia meluangkan masa melakukan aktiviti pembelajaran di dalam rumah dan bermain di halaman rumah bagi melepaskan tenaganya kerana anaknya itu sukar tidur malam kerana Iskandar mempunyai Sindrom Kurang Daya Tumpuan (ADHD) atau hiperaktif.

Ujarnya lagi walaupun anaknya itu mempunyai autisme, dia tetap berusaha memberikan pendidikan terbaik.

Iskandar turut pernah mewakili PDK Satok bagi pertandingan Special Olympic Got Talent Kuching Chapter, tempat kedua untuk Pentandingan KOKUS dan tempat ketiga untuk bermain piano.

“Sememang semenjak dahulu saya menyediakan jadual untuk aktiviti hariannya bagi memudahkan saya,” ujarnya.

Pengurusan Anak Autisme

“Iskandar tidak mempunyai banyak masalah kerana saya dan isteri banyak mencari jalan bagi tangani masalah tingkah lakunya yang suka mengamuk termasuk pengurusan diri,” kata Faizul lagi.

Kebiasaan selepas makan tengah hari, Iskandar melakukan aktiviti seperti membuat kerja rumah, latihan akademik, namun mereka lebih suka bermain bersama-sama di rumah.

Menurut Faizul lagi , tempoh PKP paling sesuai bagi ibu bapa melatih anak mereka belajar pengurusan diri.

Fahami Anak Autisme

Faizul turut berharap agar masyarakat dapat menerima dan memahami perbezaan anak autisme ini dan tidak memandang rendah kerana adakala anak ini mampu menjadi insan yang lebih baik daripada kita.

“Ibu bapa yang baharu mengetahui anak mempunyai masalah autisme ini, saya berharap mereka menerima seadanya,” katanya.

“Belajar daripada sumber yang betul dan berusaha bersungguh sungguh melakukan intenvesi awal.

Sebelum 7 tahun adalah usia emas mereka kerana ia bakal menentukan masa depan mereka.

“Gunakan masa PKP ini sebaiknya mungkin bagi ibu bapa melatih mereka sebaiknya,” jelasnya lagi.

Bagi ibu bapa di sekitar Kuching, Faizul bersama-sama rakan lain menubuh kumpulan Whatsapp dan Facebook “Sayap Biru Autisme” sebagai kumpulan sokongan dan medium kepada ibu bapa mempunyai anak autisme dan info tentang autisme.

Suara Sarawak