Komited penuhi aspirasi masyarakat

SARIKEI: Bomba dan Penyelamat Sarikei komited dan bersedia menyahut cabaran bagi memenuhi aspirasi masyarakat terhadap perkhidmatan agensi berkenaan.

Ketua Bomba dan Penyelamat Sarikei Mahmudin Narudin berkata, pihaknya berterusan melaksanakan pendekatan lebih proaktif untuk mendekati masyarakat.

Sehubungan itu katanya, pelaksanaan program yang mempraktikkan konsep cepat, tepat dan integriti penting bagi memperkasa peranan mereka.

“Cabaran meningkatkan semangat kami untuk terus berbakti kepada masyarakat.

“Saya tidak menafikan ia hasil komitmen dan usaha anggota balai kami yang memberikan kerja sama baik dalam menjalankan tugas masing-masing.

“Malah, saya amat menghargai sumbangan mereka terutama ketika kita sedang berdepan dengan Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan,” katanya pada Majlis Sambutan Hari Bomba 2020 di sini, semalam.

Mahmudin berkata, Bomba Sarikei juga akan terus melaksanakan program kesedaran bagi mengurangkan kadar risiko kemalangan jiwa dan kemusnahan harta benda.

Strategi itu katanya, bukan sahaja meningkatkan kerjasama dengan masyarakat, malah ia mampu membantu menghadapi kes kecemasan dengan lebih pantas dan efisien.

Menurutnya, program kebombaan perlu dikembangkan kerana selain mampu mencegah kebakaran, ia juga membolehkan agensi itu mendapat maklumat awal.

“Sahabat-sahabat bomba juga boleh membantu pihak jabatan dalam menghadapi insiden besar seperti kemalangan, kebakaran hutan belukar, musim banjir dan lainlain lagi.

“Risiko kebakaran dan kemalangan jalan raya tidak boleh dipandang ringan kerana boleh mengakibatkan kehilangan harta benda dan nyawa,” tambahnya lagi.

Program diserikan dengan bacaan surah Yassin dan Tahlil, membunyikan siren selama 30 saat dan mendengar perutusan khas Ketua Pengarah Bomba Malaysia.

Suara Sarawak