Patuhi arahan sambut Gawai Dayak

KUCHING: Sarawak Dayak National Union (SDNU) menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyidin Yassin mengenai langkah-langkah keselamatan yang perlu diikuti ketika sambutan Hari Gawai nanti. Presiden SDNU Tan Sri William Mawan Ikom berkata, mereka menghargai arahan yang dikeluarkan termasuk sambutan Hari Gawai.

Menurutnya, Hari Gawai boleh disambut dengan keluarga terdekat sahaja yang tidak melebihi 20 orang dalam satu masa. “Dan, pengunjung pada Hari Gawai harus dari rumah panjang atau kawasan yang sama bukannya dari kawasan luar,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak kelmarin.

Mawan menambah, langkah keselamatan seperti penjarakan sosial, topeng muka, mengguna pensanitasi tangan dan lain-lain perlu dipatuhi sepanjang masa.

“Bagaimanapun, kita di Sarawak akan mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berhubung dengan perkara ini yang saya jangka akan dikeluarkan dalam masa yang terdekat,” ujarnya.

Adun Pakan itu juga menyatakan, larangan pergerakan antara negeri yang masih berkuat kuasa dan beliau menegaskan SDNU tidak sesekali menghalang sambutan Hari Gawai.

“Penularan wabak Covid-19 seakan sudah sampai ke kemuncaknya dan amat berisiko tinggi bagi orang ramai, khususnya di perantauan untuk kembali ke Sarawak bagi menyambut Hari Gawai,” jelasnya.

Mawan juga menyokong saranan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Cawangan Sarawak agar rakyat Sarawak di perantauan termasuk yang berada di luar negara supaya jangan balik ke Sarawak pada sambutan Hari Gawai tahun ini kerana ia boleh membawa risiko penularan wabak covid-19.

“Kita harus tabah dan berkorban ketika melalui musibah ini dan sebolehnya kita mengambil langkah-langkah keselamatan termasuk tidak balik ke kampung halaman bagi sambutan Hari Gawai,” tegas Mawan.

Suara Sarawak