Pemain golf tunggu lampu hijau

ATLET golf Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak belum dapat menjalani latihan bersama jurulatih meskipun mendapat lampu hijau daripada kerajaan untuk melakukan aktiviti sosial sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akibat pandemik Covid-19.

Penyelaras Kejurulatihan Golf SUKMA, Mohd Faizal Aminuddin berkata, atlet masih menunggu kebenaran daripada pihak Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) bagi memulakan sesi latihan persiapan ke Sukma.

“Namun begitu, ada juga antara atlet yang pergi ke padang golf untuk bermain tetapi ia adalah berbentuk peribadi dan berdasarkan permainan sosial.

“Atlet perlu mengikuti Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat dikenakan oleh kelab-kelab golf, jika di Kelab Golf Sarawak (KGS) hanya ahli kelab sahaja yang dibenarkan untuk memasuki kelab dan atlet perlu melepasi tiga sekatan bermula dari pagar utama sehingga ke bangunan kelab,” katanya semasa dihubungi oleh Suara Sarawak.

Jelasnya, sukan golf adalah sukan yang memerlukan ketepatan dan pergerakan atas dan bawah.

“Sepanjang tempoh PKP prestasi atlet agak menurun apabila pemain hilang rentak dan ketepatan dalam permainan singkat serta hilang fokus dalam pukulan penyudah.

Tambah beliau, sepanjang tempoh PKP atlet hanya menjalani latihan di rumah masing-masing dengan melakukan latihan kecergasan fizikal dan latihan memukul bola mengunakan pelbagai medium seperti jaring dan tilam.

Selain itu, atlet perlu mengambil video Latihan yang dilakukan di rumah dan perlu menghantar rakaman video tersebut kepada jurulatih untuk tujuan pemantauan dan penambahbaikan.

Semasa tempoh PKP itu juga, setiap minggu pada hari Ahad akan diadakan mesyuarat menggunakan teknologi zoom antara jurulatih dan semua atlet.

Mesyuarat itu turut disertai oleh Jurulatih Kecergasan daripada Unit Prestasi Tinggi(HPU), dan Perbadanan Sukan Sarawak (SSC).

Sidang Video itu juga dipantau oleh Pegawai Pembangunan Sukan (SSC) dan rakaman sidang akan dihantar ke pihak SSC bagi tujuan penilaian serta setiap tiga hari akan diadakan latihan mental dan nasihat pemakanan bagi semua atlet secara dalam talian.

Dalam pada itu, Mohd Faizal turut menyatakan bahawa dalam tepoh PKP merupakan cabaran besar buat atlet dalam mengekalkan rentak pukulan terutamanya kategori pukulan pendek dan pukulan penyudah.

“Bagi kedua-dua kategori itu, atlet perlu merasakan sendiri situasi sebenar padang kerana latihan perlu diadakan bagi jarak dan keadaan permukaan padang yang berbeza-beza.

“Latihan ini hanya dapat diadakan di padang golf sahaja. Latihan pukulan dari bunker juga tidak dapat dilakukan dan ini amat memberi impak kepada latihan atlet,” katanya.

Oleh sebab itu, selepas dibenarkan untuk berlatih penuh bersama jurulatih nanti atlet perlu bekerja keras supaya dapat kembali ke prestasi asal.

“Saya menjangkakan dalam tempoh empat ke enam minggu diperlukan untuk atlet kembali ke prestasi asal sebelum PKP,” ujarnya.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak