Pemimpin PSB tolak pembinaan Jalan Utama Kedua

BETONG: Pemimpin Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang menolak pembinaan Laluan Utama Kedua disifatkan enggan melihat rakyat menikmati kemudahan yang lebih baik yang disediakan oleh Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Pengerusi Pemuda GPS Gerald Rentap Jabu memberitahu, projek tersebut merupakan salah satu dasar dan usaha Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg serta Kerajaan Sarawak untuk menghubung, membuka dan merapatkan jurang luar bandar dengan bandar.

“Saya percaya jalan itu nanti akan mewujudkan pelbagai peluang. “Saya ambil contoh pekebun nanas di Kubal Batu dekat Lidong. Pada masa ini, mereka memerlukan sekurang-kurangnya satu jam 30 minit menggunakan Lebuh Raya Pan Borneo untuk ke Simanggang bagi menjual hasil tani.

“Namun, dengan adanya jalan itu nanti, perjalanan hanya memakan 40 minit dan ia jelas memberi kemudahan, menjimatkan kos dan membuka lebih banyak pasaran untuk petani.

“Apa yang sedihnya, wakil rakyat mereka di Kubal Batu (Adun Engkilili Dr. Johnical Rayong Ngipa) sendiri menolak pembinaan jalan utama kedua itu atas alasan yang hanya diketahui oleh mereka (PSB),” katanya kepada Suara Sarawak, semalam.

Jelasnya yang juga Adun Layar, PSB dilihat berpendirian ingin merampas kawasan luar bandar dengan menolak Laluan Utama Kedua. “Ideologi dan agenda politik seperti ini mesti ditolak oleh pengundi terutamanya di kawasan projek-projek kerajaan memberi manfaat yang lebih besar kepada rakyat.

“Merujuk kenyataan yang dibuat oleh Presiden PSB Datuk Seri Wong Soon Koh dan Ketua Pemudanya Dr. Johnicol, pendirian parti seperti itu dilihat tidak bertanggungjawab terhadap pembangunan di luar bandar,” ujarnya. Rentap menambah, pembinaan jalan tersebut juga akan membasmi kemiskinan.

“Selain itu, pembukaan tanah NCR turut merancakkan amalan pengeluaran pertanian apabila kawasan-kawasan berjaya dihubungkan. “Projek berpusat di luar bandar seperti ini dilengkapi bekalan elektrik, air terawat dan rangkaian telekomunikasi di kampung, rumah panjang di kawasan luar bandar dan ia merupakan agenda utama Kerajaan GPS.

“Lebih-lebih lagi apabila Laluan Utama Kedua itu menghubungkan jaringan terputus di antara jaringan jalan pesisir, bandar dan Lebuh Raya Pan Borneo serta mewujudkan laluan alternatif yang sekali gus membuka kawasan untuk komuniti luar bandar terutama di selatan dan tengah Sarawak,” jelasnya.

Suara Sarawak