Penduduk mohon selesaikan isu banjir kilat di Debak

DEBAK: Adun Saribas Mohammad Razi Sitam merayu agar Kerajaan Sarawak dapat memberi keutamaan dalam menyelesaikan isu banjir kilat yang tidak berpenghujung di kawasan Debak dengan menyediakan peruntukan khas.

Katanya, senario banjir kilat yang sering berulang apabila berlaku hujan lebat di sebelah hulu serentak dengan air pasang besar amat merunsingkan penduduk.

“Kesan kepada Kampung Babu, Bungey, Lalang dan Debak Laut amat menyedihkan… isu keselamatan penduduk, kemusnahan harta benda seolah-olah cukup sinonim dengan apa yang berlaku.

“Justeru, saya akan membawa perkara ini terus kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dengan harapan Kerajaan Sarawak dapat menyediakan peruntukan khas dan memberi keutamaan terhadap apa yang berlaku di Debak,” katanya.

Beliau yang juga anak jati Debak berkata demikian ketika ditemui Suara Sarawak dekat sini, semalam.

Jelasnya, sebelum ini keperluan yang sama telah dimajukan kepada Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).

“Dan, seperti mana sebelum ini juga Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Bahagian Betong sememangnya mempunyai perancangan untuk mengatasi masalah banjir kilat di perkampungan Melayu di Debak.

“Saya difahamkan kertas kerja juga sudah dikemukakan kepada pihak atasan yang mana terdapat tiga tindakan yang sedang menunggu persetujuan kerajaan,” ujarnya.

“Sehingga ada juga cadangan untuk melebar dan mendalamkan Sungai Rimbas… namun, kita harus faham kerja-kerja tersebut memerlukan kajian teliti,” tambahnya.

Sementara untuk tindakan segera menurut Razi, JPS bersetuju memberi komitmen untuk membersih dan mendalamkan empat parit utama di sebelah darat bagi melancarkan pengaliran air.

“Saya harap pihak bertanggungjawab dapat melaksanakannya dengan secepat mungkin,” jelasnya.

Beliau ketika turun meninjau keadaan melahirkan rasa sebak apabila melihat 90 peratus kawasan Kampung Babu, Bungey, Lalang dan Debak Laut ditenggelami air termasuk kediamannya sendiri.

Razi mengharapkan penduduk tabah kerana usaha sewajarnya oleh kerajaan akan diusahakan demi kesejahteraan bersama.

Hadir sama Residen Bahagian Betong Friday Belik serta wakil agensi kerajaan dan terdahulu disampaikan taklimat perkembangan banjir oleh Penolong Pegawai Pertahanan Awam Daerah Betong Desem Samuel.

TURUN PADANG… Razi bersama ketua-ketua jabatan meninjau keadaan banjir kilat di Debak, semalam.

 

KAMPUNG JADI LAUT… Keadaan air melimpah sehingga lima kaki akibat banjir kilat di Debak, semalam.

 

Suara Sarawak