Perbuatan khianat bawa padah

KUCHING: Seorang pemuda dari Kampung Beradau Batu 17 Jalan Penrissen yang mengaku bersalah melakukan khianat merosakkan dua kenderaan milik jirannya dibebaskan dengan jaminan RM2,000 oleh seorang penjamin sementara menunggu laporan sosial, kelmarin.

Majistret Zaiton Anuar mengarahkan pemuda berusia 21 tahun itu dibebaskan dengan jaminan sehingga 12 Jun depan setelah mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Hukuman yang boleh dijatuhkan terhadap tertuduh adalah penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih lima tahun dan atau denda atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan pertama, tertuduh mengaku merosakkan sebuah kereta jenis Perodua Viva sementara bagi pertuduhan kedua tertuduh telah merosakkan sebuah kereta jenis Perodua Rusa.

Tertuduh melakukan kedua-dua kesalahan itu sekitar jam 11 malam di sebuah rumah di Kampung Beradau Batu 17, Jalan Penrissen di sini pada 1 Mei lalu.

Sementara itu, dalam mahkamah yang sama, seorang lelaki yang melakukan khianat dibebaskan dengan jaminan RM1,000 tunai dengan seorang penjamin semalam. Tertuduh berusia 33 tahun dibebaskan dengan jaminan tunai sementara menunggu kes disebut semula pada 11 Jun depan.

Tertuduh didakwa melakukan khianat dengan merosakkan harta pengadu berupa botol ubatan, pakaian dan barangan kaca menyebabkan pengadu kerugian RM300.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan pada jam 7.30 malam di sebuah rumah di Jalan Jambu Sunrise Park pada 30 April lalu.

Suara Sarawak