Raih RM300 sehari jual air tebu

KUCHING: Ketibaan bulan Ramadan dimanfaatkan sebaik mungkin oleh Sofiyan Omar, 27 tahun apabila mampu meraih pendapatan sampingan dengan menjual air tebu sebagai antara menu pilihan berbuka puasa.

Berasal dari Sri Wangi, dia menjual air tebu sejak 1 Ramadan lagi, dengan mempromosikan barang jualannya menerusi Facebook.

Dalam sehari, dia mampu meraih keuntungan antara RM100 ke RM300 dan pelanggannya kebanyakan sekitar Petra Jaya.

“Pesanan yang diterima adalah secara atas talian. Setelah menerima pesanan, saya sendiri akan menghantar air tebu ke rumah pelanggan. “Sebungkus air tebu dijual pada harga RM3 hingga RM5,” katanya kepada Suara Sarawak.

Menurutnya, dia tetap berniaga air tebu walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memperoleh pendapatan sampingan.

Pun demikian, dia tidak berniaga pada setiap hari kerana turut bekerja dalam sektor swasta di bandar raya ini.

Jelasnya, dia tidak menghadapi masalah bekalan tebu kerana dibekalkan oleh rakannya.

“Saya mendapatkan tebu daripada kawan-kawan, ia sebagai tanda sokongan antara satu sama lain,” katanya lagi.

Hubungi Sofiyan di talian 011-37979722 untuk membuat tempahan.

Suara Sarawak