Sarawak bakal umum program pulihkan ekonomi

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan mengumumkan program jangka panjang untuk memulihkan ekonomi Sarawak dalam pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, ekonomi pasca Covid-19 akan berubah dan beliau akan membuat pengumuman selepas mengadakan perbincangan dengan pihak yang berkepentingan.

“Meskipun Kerajaan Persekutuan telah mengumumkan kelonggaran PKP melalui Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) namun Kerajaan Sarawak akan memperhalusi kaedah pelaksanaannya mengikut keperluan Sarawak.

“Sebagai langkah jangka panjang, Kerajaan Sarawak terus komited untuk memastikan ekonomi negeri ini mampu berkembang walaupun dalam keadaan yang sukar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan khas sempena sambutan Hari Buruh Sedunia di sini semalam.

Kata Ketua Menteri itu lagi, ia bertujuan memberi peluang kepada rakyat untuk terus mempunyai kemampuan mendapat pekerjaan dan menerima pendapatan yang konsisten demi menyara diri dan keluarga.

Suara Sarawak