Saya tetap positif

KUCHING: Perniagaan kecil dan sederhana harus bangun seiring dengan kelaziman baharu demi kelangsungan untuk terus bertapak dalam industri perniagaan.

Pemilik Berau by Benak Raya, Imelda Bragie berkata, walaupun perniagaannya terjejas ekoran PKP semasa penularan Covid-19 namun beliau tetap berfikiran positif.

“Pada bulan Mac lalu, pendapatan perniagaan saya jatuh daripada RM4,000 sebulan kepada RM800.

“Tetapi, saya mengambil beberapa peluang menjalankan kelas dalam talian membuat sabun, serum dan produk hiliran yang berasakan sumber beras atau yang mudah didapati,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak, semalam.

Beliau juga turut tampil dengan produk cecair pembasmi kuman miliknya untuk dijual kepada pelanggan.

“Saya membangunkan produk cecair pembasmi kuman jenama sendiri kerana sedar akan kehendak dan keperluan pelanggan semasa musim PKP yang memerlukan bahan itu.

“Ilmu membangunkan produk tersebut diperolehi semasa saya mengikuti kelas dalam talian yang lepas,” ujarnya.

Beliau turut memberitahu bahawa kaedahnya dalam memastikan produk berasakan beras itu kekal mendapat sambutan adalah kekal berinteraksi dengan pelanggan menerusi media sosial.

“Kejadian Covid-19 mengajar kita erti kesedaran tentang kebersihan, disiplin dan cara berniaga. Kita tidak seharusnya hanya bergantung kepada perniagaan dalam kedai atau ekspo jualan.

“Jadi kita harus bangun seiring dengan kelaziman baharu seperti kekal berinteraksi melalui media sosial.

“Walaupun tidak dapat berjual dalam pelbagai ekspo sekurang-kurangnya kita masih boleh memasarkan produk melalui dalam talian dan membuat penghantaran kepada pelanggan,” katanya.

Malah, tegasnya setiap peniaga harus mempunyai kaedah-kaedah penjagaan kesihatan seperti prosedur operasi standard (SOP) khas semasa berjual di kedai supaya perniagaan tetap berjalan lancar.

“Sebab itu, walaupun PKP berlangsung tempahan terhadap produk berasakan beras saya seperti sabun beras, penyedut makanan daripada beras, beras putih, beras merah, beras hitam dan sebagainya tetap berjalan seperti biasa walaupun tidak seperti dahulu.

“Saya berharap masyarakat lebih peka terhadap penjagaan kesihatan dan terus membantu perusahaan tempatan dalam membangunkan kembali ekonomi negara sambil mengamalkan gaya hidup yang sihat,” katanya.

Imelda merupakan peniaga produk berasaskan beras yang berasal dari Sri Aman dan memanfaatkan hasil tanaman padi golongan petani di kampungnya untuk dikomersialkan. Beliau pernah menjadi finalis Top Ten Innovator Shell Live Wire 2019 mewakili Malaysia.

Suara Sarawak