Serba Dinamik sumbang peralatan kesihatan bernilai RM500,000

KUCHING: Serba Dinamik menyumbangkan 286,000 unit penutup hidung dan mulut dan 100,000 unit sarung tangan yang berjumlah RM500,000 kepada Kerajaan Sarawak untuk menangani pendamik Covid19 di negeri ini.

Program ringkas penyerahan sumbangan daripada Pengurus Besar (Operasi) Serba Dinamik IT Solutions Abdul Qaiyum Alidin kepada Timbalan Ketua Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Datuk Amar Douglas Uggah Embas di Dun Lama, petang semalam.

Turut hadir menyaksikan program ringkas tersebut ialah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak Dr Chin Zin Hing dan yang lain.

Syarikat itu, sebelum ini pernah berkerjasama dengan dua NGO di Bintulu iaitu Skuad Prihatin Berkhidmat Berbakti dan Skuad Team Sukarelawan Hikmah dengan menyalurkan 2,000 bungkus bakul makanan kepada golongan B40 di Bahagian Bintulu.

Manakala 1,000 bungkus lagi disumbangkan kepada anggota barisan hadapan yang berkhidmat di Hospital Bintulu, polis, tentera, Rela dan Bomba. Sumbangan berkenaan diedarkan kepada penduduk di kawasan Kampung Sinong, Masjid, Dato, Sebiew, Baru, Kuala Segan, Kuala Tatau, Jepak, Tanjung Batu, Kidurong, Pandan, Labang, Sebauh termasuk Jalan Bintulu-Miri.

Setakat ini, Serba Dinamik turut menyumbang bakul makanan dan makanan bungkus kepada penduduk di sekitar Bintulu dan barisan hadapan bernilai RM395,000.

Malah syarikat berkenaan juga turut menyediakan peralatan perlindungan diri, penutup hidung dan mulut, cecair pembasmi kuman dan pengesan suhu berjumlah RM1 juta kepada Pusat Perubatan Universiti Malaya, Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Hospital Serdang, Hospital Selayang, HKL dan Hospital Sungai Buloh sejak 28 Mac lalu bagi memerangi wabak Covid-19 di negara ini.

Keseluruhan sumbangan yang telah disalurkan Serba Dinamik setakat ini mencecah RM1.895 juta.

Suara Sarawak