Sidang Dun Sarawak dan kelaziman baharu

KELAZIMAN baharu.

Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak ke-18 yang berlangsung sehari semalam mencipta sejarah tersendiri. Ia berlangsung ketika negara dan seluruh dunia berhadapan dengan penularan wabak Covid-19.

Pada masa ini, terdapat 4.1 juta kes positif dilaporkan, dengan 2.4 juta kes aktif dan hampir 300,000 kematian di seluruh dunia. Sehingga kelmarin, dilaporkan bahawa jumlah kes positif Covid19 di Malaysia telah mencapai 6,656 kes dengan 1,523 kes aktif dan 108 kematian.

Di Sarawak, dalan tempoh yang sama, jumlah kes positif yang dilaporkan mencecah 543 kes, dengan 17 kematian. Persidangan kali ini menyaksikan kebiasaan baharu diamalkan dengan menekankan garis panduan dan langkah pencegahan Covid-19.

Ia juga berlangsung tanpa atur cara istiadat seperti kelazimannya. Sebagai pematuhan terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan beberapa pegawai tinggi kerajaan kelihatan mengambil langkah-langkah pencegahan yang disediakan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak.

Antaranya amalan penjarakan sosial, pemakaian pelitup muka, penggunaan sanitasi tangan dan pemeriksaan suhu badan. Persidangan selama satu hari yang bermula pada jam 9 pagi tersebut dimulakan dengan pemasyhuran oleh Speaker Dun, Datuk Amar Awang Asfia Awang Nassar di hadapan para Adun.

Kebiasaannya, Dun akan dipenuhi pegawai kerajaan dan orang awam, baik di bahagian lobi mahupun sekitar dewan setiap kali persidangan. Namun kali ini ia sunyi, dilaksanakan secara tertutup.

Seramai lima Adun tidak hadir dan empat daripadanya merupakan ahli Parti Sarawak Bersatu (PSB), iaitu presidennya, Datuk Seri Wong Soon Koh yang juga Adun Bawang Assan, Dr Johnical Rayong (Engkilili), Ranum Mina (Opar) dan Datuk Tiong Thai King (Dudong). Manakala seorang lagi, Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Dr Annuar Rapa’ee yang juga Adun Nangka mewakili Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB)

Untuk rekod, sebelum ini Presiden PSB telah mengumumkan Adun PSB tidak akan menghadiri persidangan yang berlangsung semalam. Speaker Dun Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar pada ucapan pemasyhurannya berkata, persidangan kali ini terpaksa diadakan dalam suasana yang cukup getir, dengan mengutamakan langkah-langkah keselamatan kesihatan pada tahap tertinggi.

“Kerana itu tarikh dan masa persidangan ini telah ditetapkan kepada satu hari sahaja dengan mengambil langkah-langkah keselamatan kesihatan yang optimum,” katanya.

Persidangan Dun Sarawak telah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pembekalan Tambahan (2020) 2020 dan RUU Pembekalan Tambahan (2019) 2020. Kedua-dua RUU itu telah dibentangkan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Biarpun ada desas-desus tidak puas hati sebelum persidangan, ia sebenarnya telah berlangsung dalam suasana harmoni serta mengikut peraturan ditetapkan tanpa sengketa fahaman parti.

Semuanya sedar dan memahami, mesyuarat terpaksa dilaksanakan sedemikian rupa kerana seluruh dunia sedang berperang dengan wabak Covid-19.

Hakikatnya, majoriti Adun tetap memberi sokongan kepada Kerajaan Sarawak dalam membangunkan semula ekonomi yang telah menerima tempias akibat penularan Covid-19.

Suara Sarawak