SOP IPAKK: Kurangkan kerisauan ibu bapa

KUCHING: Institusi Pendidikan Awal Kanak-kanak (IPAKK) harus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kebajikan, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak setelah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ditamatkan kelak.

Menteri Kebajikan, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, SOP pasca-PKP Covid-19 Sarawak dikeluarkan sebagai persediaan untuk IPAKK beroperasi pada satu tarikh yang dibenarkan kelak.

“Susulan pandemik Covid-19, PKP dikuatkuasakan yang bermula 18 Mac lalu menyebabkan semua IPAKK diarah tutup.

“Sehubungan itu, semua kanakkanak mesti berada di rumah bersama-sama ibu bapa sehingga kita mendapat arahan bagi beroperasi semula tadika dan taska selepas PKPB ditamatkan,” katanya.  Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai SOP terbabit di Bangunan Dun Lama, Petra Jaya, di sini kelmarin.

Menurut Fatimah, SOP terbabit telah dimajukan kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU) untuk diselaras mengikut kesesuaian situasi di Sarawak. “Dengan adanya SOP ini, ia dapat mengurangkan kerisauan ibu bapa mengenai keselamatan anak-anak mereka apabila tadika dan taska beroperasi semula.

“SOP berkenaan bukan sahaja melibatkan pengendali tadika dan taska malah merangkumi ibu bapa dan guru,” jelasnya. Katanya, SOP bagi pengendali tadika dan taska ialah menjalankan operasi sanitasi IPAKK sebelum dibuka semula, mengawal aktiviti berkumpulan, memberi taklimat kepada semua kakitangan yang termasuk memeriksaan kesihatan mereka sebelum masuk ke premis.

“SOP yang perlu dipatuhi oleh ibu bapa pula ialah memastikan anak-anak dalam keadaan sihat dan bersih, memakai pelitup muka semasa menghantar dan menjemput anak-anak, wajib mengisi buku log harian dan senarai semak IPAKK serta tidak menghantar kanak-kanak ke sekolah jika terdapat ahli keluarga sakit.

“Apabila kanak-kanak tiba di IPAKK, kakitangan tadika dan taska harus mengambil bacaan suhu badan setiap kanak-kanak, mewajibkan kanak-kanak membersihkan tangan dan terus dibawa ke bilik aktiviti, jadual ketibaan secara berperingkat serta mengamalkan penjarakan sosial satu meter dalam kalangan kanak-kanak,” ujarnya.

Fatimah menambah, semasa pembelajaran kanak-kanak, pengendali Tadika dan Taska harus mengamalkan konsep “Bersih Awal, Bersih Akhir” (BABA) dengan memakai pelitup muka ketika menyediakan makanan, ruang makan bersih, mewajibkan kanakkanak mencuci tangan sebelum dan selepas makan serta tidak berkongsi peralatan makanan.

“Ibu bapa dan guru perlu menyesuaikan diri dengan kelaziman baharu apabila tidak perlu berbincang secara bersemuka mengenai perkembangan kanakkanak. “Oleh itu, saya menggesa agar semua pihak supaya mengutamakan kebersihan dan keselamatan diri terutama apabila menjelang musim perayaan Aidilfitri dan Gawai yang akan tiba hujung bulan ini,” katanya.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak