Subsidi 30 peratus bayaran gaji

KUALA LUMPUR: Kerajaan telah memberikan subsidi kira-kira 30 peratus untuk pembayaran gaji perusahaan kecil dan sederhana (PKS) semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk mengelakkan pembuangan kerja dan mengurangkan petugas yang diberhentikan.

Neil Foo, wakil Malaysia bagi Forum Perniagaan PKS Kerjasama Ekonomi Asia Pasifi k (APEC) (Forum PKS APEC) berkata banyak PKS menerima bantuan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang dilancarkan baru-baru ini.

“Selain subisidi upah di bawah pakej PRIHATIN, beberapa langkah seperti penangguhan bayaran pinjaman kereta dan pinjaman rumah selama enam bulan turut memberikan sedikit kelegaan kepada PKS,” katanya dalam persidangan web khas anjuran Forum Ekonomi China Sedunia (WCEF) berpangkalan di China.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN Tambahan) bernilai RM10 bilion untuk membantu meringankan beban kewangan PKS akibat Covid-19 pada 6 April selain pakej PRIHATIN bernilai RM250 bilion yang diumumkan beliau pada 27 Mac.

Jelas Foo, kira-kira 70 peratus PKS di Malaysia mengendalikan perniagaan mereka dengan mempunyai aliran tunai kurang daripada tiga bulan.

“Sekiranya PKP berakhir (pada 12 Mei seperti yang dijadualkan), mereka memerlukan tempoh sebulan lagi untuk bersiap sedia memperkukuhkan perniagaan,” katanya.

Bagaimanapun, Foo berkata menerusi bantuan pakej PRIHATIN daripada kerajaan, beliau optimis aktiviti-aktiviti ekonomi di Malaysia akan meningkat khususnya pada separuh kedua tahun ini.

“Apabila kerajaan memberikan wang kepada rakyat, mereka akan mula berbelanja.

Apabila mereka berbelanja, ekonomi akan meningkat dan akan membantu pengendali perniagaan,” katanya.

Sementara itu, bekas timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata walaupun Malaysia berjaya mengawal penyebaran Covid-19, keadaan itu tidak lagi serupa ketika pasca Covid-19.

Lee yang juga Ahli Parlimen Gopeng berkata, cabaran yang terbesar adalah mengamalkan langkah penjarakan sosial dan bagaimana untuk memastikan aktivitiaktiviti ekonomi, sukan, pendidikan dan aktiviti-aktiviti lain berjalan lancar sementara masyarakat menyesuaikan diri dengan ‘budaya baharu” ini.

“Namun, saya yakin rakyat Malaysia akan melakukan yang terbaik untuk memastikan pembangunan ekonomi yang mampan,” katanya. – Bernama

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak