Tambahan 15 Jawatankuasa Parlimen Penggerak PKN dalam masa terdekat

KUCHING: Sebanyak 15 Jawatankuasa Parlimen Penggerak Komuniti Negara (PKN) lagi akan dirancang untuk ditubuhkan dalam masa yang terdekat setelah 16 Jawatankuasa Parlimen Penggerak PKN kini berjaya ditubuhkan di Sarawak.
Menurut Ketua Penerangan PKN Wilayah Sarawak, Leslley Kalom penubuhan tersebut selaras dengan Dasar Komuniti Negara yang dilancarkan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin tahun lalu.

“Kini di Sarawak 16 Jawatankuasa Parlimen Penggerak PKN tersebut ialah meliputi kawasan Petra Jaya, Santubong, Kota Samarahan, Batang Sadong, Stampin, Miri, Lubok Antu, Bintulu, Tanjong Manis, Kapit, Sarikei, Betong, Puncak Borneo, Saratok, Sibu dan Igan.

“Seperti negeri-negeri lain kita di Sarawak telah berjaya menubuhkan 16 Jawatankuasa Parlimen PKN ini, malah sebanyak 15 Jawatankuasa Parlimen PKN lagi juga akan kita tubuhkan dalam masa yang terdekat,” katanya menerusi satu kenyataan.

Tambahnya matlamat dan fokus asal PKN dari awal adalah untuk membantu golongan yang kurang berpendapatan seperti golongan B40, Miskin Bandar dan juga kumpulan sasar yang termaktub di dalam Dasar Komuniti Negara.

“Fokus utama PKN ialah sebagai sebuah NGO bertujuan bagi membangunkan aspek ekonomi, sosial, pendidikan dan pengukuhan jati diri yang padu dalam kalangan masyarakat kini.

“Sehingga kini sahaja sebanyak 198 Jawatankuasa Parlimen Penggerak Komuniti Negara (PKN) telah ditubuhkan di seluruh negara dan ianya berdasarkan kawasan Parlimen,” ujarnya.

Dalam pada itu, difahamkan juga keahlian PKN setakat ini hampir mencecah tiga ratus ribu ahli di seluruh negara.
Sejak dimulakan pada tahun 2018, PKN telah berjaya mengumpul banyak pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) dan digabungkan di bawah satu payung besar yang lebih strategik dann berfokus.

Senarai Ahli Jawatankuasa Parlimen Penggerak Komuniti Negara (PKN) di Sarawak.

Suara Sarawak