Terima kasih, jaga kami!

SERIKIN: Walaupun menjalani ibadah puasa, setiap anggota tentera perlu menjalankan tugas berkawal di sempadan negara untuk tempoh tujuh hari berturutturut.

Mereka hanya tinggal di dalam khemah berbekal sumber yang ada dan tidak dibenarkan balik atau menerima bekalan makanan sepanjang bertugas.

Itu antara cabaran yang perlu ditempuhi oleh perajurit negara sewaktu bertugas di sempadan negara dan keperluan kemahiran survival menjadi satu keutamaan ketika itu.

Menurut Pegawai Memerintah Rejimen Ke-4 Kor Armor Diraja Lt Kol Shamzaini Misran, sebagai anggota tentera kelangsungan hidup mereka bergantung pada apa yang dibawa untuk bersahur dan berbuka.

“Ini termasuk cabaran hujan dan cuaca panas dalam menjalankan tugas. Sebagai tentera mereka semua sedia maklum akan semua perkara ini.

“Anggota terdiri daripada Muslim dan bukan Muslim dan bakal menyambut dua perayaan Hari Raya Aidilfiti dan Gawai Dayak… jadi pembahagian tugas mengikut jadual juga dilaksanakan,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak di Kem JPG Serikin-Jagoi Babang.

Sepanjang PKPB kini, anggota juga melaksanakan Ops Penawar dan Ops Kerangka termasuk Ops Awas dan Ops Keris Parang.

“Tujuan utama operasi ini adalah untuk mengusir dan menutup laluan tikus sepanjang sempadan dari Lubuk Antu hingga ke Biawak yang dianggarkan sejauh lebih 570 kilometer.

“Mungkin mustahil untuk dilakukan. Tetapi sekurangkurangnya melalui risikan dan melalui operasi, ia dapat menutup semua laluan tikus supaya tidak dibolosi pendatang asing tanpa izin (Pati),” ujarnya.

Tambahnya, bagi mengelakkan penularan Covid-19, Ops Keris Parang kini terpaksa ditangguhkan sementara.

Suara Sarawak