Tunggu dua bulan lagi

KUCHING: Permohonan yang lambat diluluskan untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mikro bagi bantuan Geran Khas Prihatin dan sebagainya adalah bergantung dengan proses dokumentasi keselamatan bank (security bank) yang terlibat.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pihak bank mungkin telah meluluskan, tetapi aspek keselamatan melibatkan perjanjian, caj memorandum mestilah didaftarkan.

“Jika caj memorandum ini tidak didaftar bagaimana untuk mengeluarkan sumber kewangan, bank sudah meluluskan tetapi belum dapat dikeluarkan kerana proses dokumentasi belum selesai.

“Oleh itu aspek keselamatan bank mesti dijaga dan bank tidak akan berani mengeluarkan wang sesuka hati,” katanya ketika ditemui di Kampung Selipar Putus semalam.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai ketidakpuasan beberapa pihak yang yang melihat bantuan Geran Khas Prihatin tidak diluluskan baru-baru ini dan ia merupakan berpunca dari aspek keselamatan perbankan yang perlu dipatuhi.

Bagaimanapun SME Bank dan Bank Rakyat tidak ada menghadapi masalah, namun bank-bank lain di bawah kementerian lain seperti mana bank komersial dan bank kerajaan khasnya BSN berlaku kerana adanya permohonan yang banyak dalam satu masa menjadikan berlakunya kelewatan.

“Sehingga kini bank dibawah kementerian saya juga telah mengeluarkan lebih RM1.7 bilion untuk bantuan ini dan jumlah yang belum diluluskan kini amatlah kecil, jadi kita harap mereka dapat terus bersabar serta berharap ia dapat diselesaikan dalam tempoh satu, dua bulan ini,” katanya.

Selain itu, beliau turut menasihatkan sekiranya pelanggan masih menghadapi apa-apa masalah berkenaan urusan perbankan tersebut, mereka boleh menghubungi talian yang disediakan.

Suara Sarawak