Unimas akan ambil pelajar baharu

KOTA SAMARAHAN: Unimas akan mendapatkan kebenaran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai perancangan pengambilan pelajar baharu pada September tahun ini.

Naib Canselornya Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi berkata, ia antara perancangan awal untuk pelajar sesi 2020/202.

“Kalau dibenarkan memulakan sesi 2020/2021 pada Oktober kelak, ia hanya untuk pengajaran dan pembelajaran atas talian,” katanya kepada media di Dataran Kolej Cempaka di sini, semalam.

Mengenai cadangan menyambung semester kedua sesi 2019/ 2020 yang tertangguh katanya, ia dicadang disambung semula pada 9 Jun depan iaitu selepas Aidilfitri dan Hari Gawai.

“Penyambungan semula sesi semester dua ini juga dilakukan secara atas talian,” tambahnya.

Dalam perkembangan lain jelasnya, Unimas kini sedang mengurus pelajar luar negara secara berasingan kerana ramai kalangan mereka merupakan pelajar pascasiswazah dan ingin kekal berada di dalam kampus.

“Kebanyakan mereka tinggal di luar kampus dan sebahagian kecil berada di dalam kampus.

“Pengajian mereka tidak begitu terkesan kerana masih berurusan dengan penyelia ataupun pensyarah masing-masing secara atas talian,” katanya.

Jelas Kadim lagi, semua pihak (warga Unimas) harus mempraktikkan penjagaan kebersihan peribadi dengan membasuh tangan, menggunakan penutup mulut dan hidung serta sanitasi tangan.

“Selepas ini ia akan menjadi amalan semua… sudah tentu aspek penjarakan sosial perlu dijaga sepanjang masa,” tegasnya.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak