Yakin mampu kawal pelajar

KUCHING: Guru dan kakitangan sekolah perlu lebih tegas bagi memastikan semua pelajar dibawah jagaan mereka sentiasa mematuhi SOP dalam mengekang pandemik Covid-19 di sekolah.

Ahli Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Kaunselor Rabian Kifli amat bersetuju dan menyokong penuh keputusan kerajaan membuka semula sekolah pada 24 Jun depan terutama bagi pelajar yang akan menduduki peperiksaan penting tahun ini.

Menurutnya, pembukaan semula sekolah itu perlu memandangkan pelajar banyak tertinggal silibus pelajaran serta mungkin ada pelajar yang sukar menjangkauinya.

“Sekolah memang patut dibuka semula khususnya untuk mereka akan menduduki peperiksaan awam penting meskipun berhadapan dengan norma baharu.

“Bagaimanapun soal kelaziman baharu ini tidak seharusnya menjadi masalah, kerana pelajar tingkatan lima dan enam sudah cukup matang.

Mereka tahu menyesuaikan diri dalam norma baharu berkenaan.

“Lagipun kita perlu yakin pihak sekolah mampu mengawal pelajar agar mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya kepada Suara Sarawak di sini.

Rabian yang juga bekas guru berkata, pihak sekolah perlu bertindak tegas terhadap mana-mana pelajar atau kakitangan sekolah yang didapati sengaja melanggar SOP semasa di kawasan sekolah.

Sehubungan ini katanya, mereka yang didapati melanggar SOP perlu diambil tindakan seperti polis mengambil tindakan terhadap orang awam yang tidak mematuhi SOP atau PKP, namun tindakan itu hendaklah bersesuaian untuk pelajar.

Untuk tujuan ini juga pihak sekolah perlu kerap membuat rondaan dari bilik darjah ke bilik darjah bagi memastikan SOP dipatuhi.

“Oleh yang demikian saya mencadangkan agar pihak sekolah tidak membiarkan pelajar berada di luar kelas terlalu lama.

Jika keadaan ini dibiarkan, ia menyukarkan guru terbabit mengawal pergerakan pelajar.

“Selain itu, waktu balik pelajar perlu dilakukan secara berperingkat-peringkat bagi mengelakkan pelajar berkumpul terlalu ramai dalam satu masa.

Ibu bapa atau penjaga perlu mengambil anak masing-masing balik dari sekolah tepat pada masanya,” tegasnya.

Mengenai pelajar yang belum dibenarkan ke sekolah, Rabian mencadangkan agar pihak sekolah menyediakan pendidikan ala pendidikan jarak jauh menggunakan kaedah atas talian seperti e-mel, WhatsApp dan sebagainya atau dengan kaedah bahan bercetak terutama bagi pelajar di kampung atau di luar bandar.

Menurutnya, dengan kaedah ini para guru boleh menyediakan kerja rumah atau latihan disertakan dengan nota penerangan bagi membolehkan pelajar faham tentang tugasan yang diberikan.

Katanya, jika tugasan ini disediakan berbentuk bahan bercetak, ibu bapa perlu bersedia mengambil bahan latihan ini di sekolah untuk anak-anak mereka dan bersedia mengembalikan semula bahan latihan kepada guru di sekolah setelah anak-anak mereka selesai membuat tugasan itu.

“Sehubungan ini saya tidak setuju jika ada pihak sekolah berhasrat menggunakan perkhidmatan runner.

“Sebaliknya ibu bapa datang sendiri untuk mengembalikan kertas tugasan itu ke sekolah meskipun seminggu sekali agar ada interaksi antara guru dan ibu bapa berkenaan.

“Ingin tegaskan agar guru yang mengajar murid tahun satu perlu mengambil inisiatif lebih.

Sebab murid ini baru nak pandai membaca dan menulis tetapi terbantut proses pembelajaran kerana sekolah,” jelasnya.

Oleh itu katanya, murid pada tahap ini perlu lebih banyak latihan bacaan dan tulisan agar mereka tidak ketinggalan mata pelajaran yang dipelajarinya sebelum ini.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak