KUCHING: Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Industri dan Pembangunan Usahawan Datuk Malcom Mussen Lamoh menyokong penuh pelaksanaan jalan dua hala (Standard R5) yang dibangunkan di Sarawak.

Adun Batang Ai itu juga berkata, sebagai seorang wakil rakyat dari Bahagian Sri Aman beliau sangat menyokong perkara tersebut kerana ia melalui beberapa kawasan atau bandar dan dapat dihubungkan dengan baik setelah siap dibina.

“Perkara tersebut sangat tepat dan sesuai untuk Kawasan Pembangunan Sri Aman (SADA) yang baharu sahaja dibentuk dan diluluskan oleh Kerajaan Sarawak baru-baru ini.

“Ia pasti akan membantu meningkatkan promosi pertanian dan pembangunan ekonomi dengan lebih berkesan di rantau ini di mana kita dapat menghubungkan kawasan pengeluaran ke pusat pemprosesan, pasar atau pelabuhan seperti Tanjong Manis dalam kawasan pesisir,” ujarnya menerusi kenyataan pada 31 Mei lalu.

Malcom memetik perutusan Hari Gawai oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud pada 31 Mei lalu, katanya beliau meminta agar Kerajaan Sarawak membuka beberapa kawasan pertanian padi komersial termasuk Sri Aman dalam usaha kita untuk mencapai kecukupan dan menjaga stok beras daripada sebarang kemungkinan dalam era politik global yang tidak menentu kini.

“Sebarang pengeluaran tanaman secara mekanisme dengan mesin dan peralatan moden yang relevan memerlukan aksesibiliti dan hubungan yang lebih baik untuk meningkatkan kuantiti dan kualiti produk pertanian kita.

“Infrastruktur lain yang berkaitan seperti saliran dan pengairan, pusat pemprosesan dan pengumpulan dapat ditempatkan di lokasi-lokasi strategik di sepanjang jalan untuk membantu petani tempatan dan pihak berkepentingan yang lain,” katanya.

Malcom juga menekankan bahawa rantaian bekalan sejuk yang lengkap dapat dilaksanakan dengan pengendalian pukal dan pengangkut produk yang mudah rosak untuk pasaran dan eksport tempatan.

Dalam hal berkaitan, beliau mencadangkan agar Kerajaan Sarawak membantu membangunkan dan menaik taraf jalan yang ada untuk menghubungkan kawasan pilihan rayanya yang merupakan sebahagian daripada dua daerah di Bahagian Sri Aman setelah setelah projek Jalan Utama Kedua (STR) selesai nanti.

“Dengan cadangan penempatan semula ibu negara Indonesia ke Kalimantan, kawasan-kawasan sempadan seperti seperti Lubok Antu akan berada dalam lokasi yang baik untuk dibangunkan menjadi pintu masuk antara bangsa.

“Ia untuk memudahkan perdagangan antara sempadan serta kegiatan eksport-import yang akan memberi peluang pekerjaan dan putaran ekonomi kepada komuniti tempatan.

“Potensi pelancongan, barang makanan seperti beras, ikan (dari akuakultur) atau buah-buahan akan mendapat permintaan yang tinggi dengan jangkaan ledakan penduduk di seberang sempadan dan kita juga dapat memperluaskan pasaran serta meningkatkan hubungan yang disediakan oleh jalan yang dicadangkan itu,” tegasnya.

Menurutnya lagi, beliau terdorong untuk melontarkan pandangan tentang perkara tersebut kerana sudah sekian lama berkhidmat untuk kawasan luar bandar.

“Ia adalah harapan saya untuk masa hadapan Negeri Sarawak terutama sekali mengenai dasar pembangunan untuk negeri yang kita sayangi ini,” ujarnya lagi.