DEBAK: Pemimpin di setiap rumah panjang diingatkan untuk memastikan perayaan Gawai Dayak dirai dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan, di samping mengutamakan nilai ‘kita jaga kita’.

Adun Saribas Mohammad Razi Sitam memberitahu, masyarakat Iban khususnya di kawasan Saribas harus akur dengan arahan yang membenarkan Gawai Dayak disambut sehari sahaja ekoran penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Sepertimana sedia maklum, kita masih belum selesai memerangi ancaman Covid-19, maknanya kerajaan menasihatkan Gawai Dayak yang disambut pada 1 Jun perlu mematuhi setiap SOP dalam PKPB.

“Ini bermakna tiada aktiviti ngabang dan saya mohon tuai-tuai rumah dapat memantau perkara tersebut untuk mengelakkan sesuatu yang tidak diingini dalam musim perayaan,” katanya selepas bertemu barisan tuai rumah di sini, semalam.

Jelasnya, pematuhan terhadap SOP dalam tempoh PKPB sangat penting untuk membendung penularan wabak Covid-19.

Beliau mengucapkan selamat menyambut Gawai Dayak kepada semua pihak yang meraikannya terutama di Saribas.

Sementara itu, Penghulu Kadam Ot memberi jaminan bahawa masyarakat Iban di sini tidak akan melanggar arahan PKPB terutama bersempena sambutan Gawai Dayak.

“Tindakan kerajaan membenarkan Gawai Dayak disambut sehari sahaja demi kebaikan bersama. Saya bersama tuai-tuai rumah di sini akan memastikan masyarakat patuh setiap arahan,” ujarnya.

Beliau mewakili masyarakat Iban di Saribas mengucapkan terima kasih atas sumbangan Razi kepada pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Terdahulu, Razi menyampaikan sumbangan geran kerajaan di bawah peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) keseluruhan bernilai RM230,000 kepada 39 JKKK rumah panjang, kawasan Melayu serta NGO komuniti Cina.