KUCHING: Sarawak terus mencatatkan sifar kes baharu positif Covid-19 ekoran daripada tiada kes baharu yang dilaporkan hari ini.

Menurut kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), keseluruhan kes positif Covid-19 di Sarawak setakat hari ini kekal sebanyak 552 kes.

“Dimaklumkan juga tiada kes baharu yang telah sembuh dan discaj dari hospital dilaporkan pada hari ini.

“Setakat hari ini juga, jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 yang telah sembuh dan discaj adalah kekal seramai 508 orang atau 92.03 peratus,” ujar kenyataan itu.

JPBN juga mendedahkan bahawa, seramai 37 PUI baharu dilaporkan dan sebanyak 11 kes masih menunggu ujian makmal.

“Manakala 339 sampel yang telah diambil di Belawai, Tanjung Manis sehingga semalam 312 daripadanya adalah negatif dan 27 masih menunggu ujian makmal,” jelasnya.

Dalam hal berkaitan, pada hari ini juga sebanyak 2,071 jumlah permohonan pergerakan antara Daerah telah diterima oleh 28 buah Ibu Pejabat Daerah PDRM seluruh Sarawak.

“Ia menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 93,784 permohonan dan daripada jumlah kumulatif tersebut, sebanyak 85,495 telah diluluskan manakala 8,289 ditolak,” katanya.

Turut didedahkan, pada hari ini juga sebanyak tujuh tangkapan dibuat kerana ingkar PKPB.

“Manakala 32 orang awam telah dikompaun kerana cuba merentas Daerah tanpa permit Polis.

“Ini menjadikan sebanyak 185 orang telah dikompaun sejak 19 Mei yang lepas,” tegasnya.

Menurut laporan APM pula, seramai 107 individu di bawah pengawasan (PUS) telah mendaftar masuk di hotel untuk menjalani kuarantin, setakat hari ini.

“Ia menjadikan jumlah keseluruhan PUS di 38 buah hotel adalah seramai 834 orang manakala seramai 12,574 PUS telah tamat menjalani tempoh kuarantin,” ujar JPBN lagi.