KUCHING: “Bejalai betungkat ka adat, tinduk bepanggal ka pengingat”. Peribahasa Iban ini memberi makna yang cukup besar buat etnik Dayak di perantauan.

Di mana sahaja mereka berada, adat dan budaya tetap menjadi pegangan. Bagi Jackson Saga 27, setelah 4 tahun menetap di Laie, Hawaii, bukanlah alasan baginya untuk tidak meraikan Gawai Dayak bersama-sama isteri Cathrine Kushalini Vijayakumar, 28, yang berasal dari Ipoh, Perak.

Baginya tahun ini merupakan tahun keempat, dia tidak menyambut Gawai di Sarawak dan ia merupakan satu keperitan yang terpaksa ditempuh demi menimba ilmu di rantau orang.

Beliau menuntut dalam jurusan Pengurusan Perhotelan dan Pelancongan di Brigham Young University of Hawaii.

Pada masa yang sama dia turut bekerja.

“Kemajuan teknologi telah mendekatkan jurang yang jauh terutama ketika musim Gawai.

Namun hati tetap sebak kerana tidak dapat bersama-sama keluarga.

“Saya merindui sahabat handai dan suasana “ngabang” serta makanan tradisi, terutama ayam pansuh, ayam daun ubi sup dan banyak lagi.

“Walaupun jauh merantau di tempat orang, Gawai tetap berada dalam hati saya.

“Selalunya, setiap tahun saya dan isteri menyajikan makanan yang serupa, tetapi agak berbeza rasa kerana kekurangan bahan dan kemudahan untuk memasak,” katanya kepada Suara Sarawak.

Jelasnya lagi, dia dan isteri akan membuat kelainan dalam sajian, namun tetap mengekalkan identiti Sarawak.

Jackson yang berasal dari Rumah Asin, Sebakong, Mukah menjelaskan ekoran Covid-19, Gawai tahun ini disambut dalam suasana yang berbeza.

“Kepada keluarga dan sahabat handai di Sarawak, Gawai menyatukan kita dan memberikan kegembiraan.

“Tahun ini semangat saya untuk bergawai di kampung halaman berkobar-kobar, namun demi keselamatan dan kesihatan ia terpaksa dikorbankan,” ujarnya.

Menurut Jackson, pihak kerajaan di Hawaii amat komited menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan iaitu “Berada atau Kerja di Rumah”, Stay Home/Work From Home sehingga kini.

“Hanya pekerja di sektor perkhidmatan penting yang dibenarkan turun bekerja.

Manakala penerbangan domestik dan antarabangsa turut ditutup,” ujarnya.

Jackson turut memberi pesanan kepada seluruh warga Sarawak dan Malaysia agar terus mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan sepanjang menghadapi wabak Covid-19 ini.