KUALA LUMPUR: Pandemik COVID-19 telah membawa perubahan dalam dunia peruncitan, sekali gus mewujudkan cabaran kepada sektor e-dagang.

Pengasas merangkap Pengerusi Eksekutif Kumpulan QI Datuk Seri Vijay Eswaran berkata peruncit dalam talian, rantaian bekalan dan pengurusan pesanan menerima cabaran apabila menerima lonjakan pesanan dan pertumbuhan pendapatan tiga angka.

“Kini, perniagaan perlu mula memberikan tumpuan dalam memanfaatkan situasi seumpama ini.

“Beberapa penganalisis yakin dengan mengambil kira lebih ramai orang yang kini berada di rumah, ia akan merangsang pertumbuhan e-dagang secara umumnya dalam jangka masa sederhana,” katanya kepada Traxxfm dan Bernama.

Beliau berkata memandangkan pengguna akan lebih banyak bergantung kepada perkhidmatan e-dagang pada pasca COVID-19, penggunaan digital akan membantu perniagaan mengimbangi risiko dengan dekat kepada pelanggan, menyediakan keperluan pelanggan sambil menjaga penjarakan sosial.

Vijay berkata arahan untuk terus berada di rumah mungkin akan ditamatkan, namun, sebelum ia berakhir, jutaan pengguna telah mewujudkan dan memperkukuh tingkah laku pembelian dan tabiat mereka yang baharu secara dalam talian, dan menurutnya ramai yang enggan meneruskan kaedah membeli belah tradisional kerana bimbang dijangkiti penyakit.

Beliau berkata pengguna hari ini lebih berminat untuk berada di rumah dan membeli belah dalam talian,  dan ini mewujudkan suasana pasaran yang ideal kepada syarikat untuk mempercepat, menguji dan melancarkan aplikasi mudah alih, laman web dan titik sentuhan berpandukan pengalaman baharu di semua platform mereka.

“Bagaimana mereka memilih untuk memberi maklum balas akan menentukan masa depan e-dagang. Ramai memilih untuk menukar daripada pelanggan sekali-sekala kepada pelanggan paling setia,” katanya.

Vijay turut menegaskan bahawa usahawan perlu kreatif untuk menjamin masa depan perniagaan mereka, melayani pelanggan dan mengekalkan rantaian bekalan yang kukuh berikutan pembeli telah mengubah keutamaan mereka dari segi apakah yang ingin dibeli dan yang mereka ada.

“Saya lihat syarikat-syarikat terkemuka membuat kelainan berbanding pesaing mereka berdasarkan pengalaman yang diberikan kepada pelanggan.

“Pengalaman dirasai secara unik dan mereka berkembang daripada back-office seperti pengeluaran dan rantaian bekalan kepada pengalaman front-office melalui pemasaran, e-dagang dan perkhidmatan pelanggan,” kata Vijay.

Kumpulan QI adalah konglomerat multinasional dalam jualan langsung, hartanah, pendidikan, runcit dan hospitaliti.