PILIHAN RAYA KE-12 Negeri Sarawak dijangka akan berlaku bila-bila masa sekarang dan masing-masing parti mula mempersiapkan diri ke arah itu.

Bagi parti kerajaan, Gabungan Parti Sarawak (GPS), mereka sebenarnya sudah bersiap sedia sejak tahun lalu. Berdasarkan tradisi parti ini setiap kali menjelang pilihan raya, pemantauan prestasi calon akan dilakukan, sambil beberapa muka baharu dinilai resume dan perwatakannya.

Seharusnya, ketika ini, Pengerusi GPS sudah mempunyai ilham siapa yang bakal diletakkan di kerusi-kerusi tertentu, dan mereka pula perlulah calon boleh menang.

Berdasarkan kenyataan Presiden PRS, Tan Sri Dr James Jemut Masing, parti itu sudah mempunyai senarai nama dan akan mengemukakannya kepada Abang Johari. “Cuma menunggu restu,” katanya lagi.

Bagi parti yang dipimpin oleh Abang Johari sendiri, PBB, tidak akan timbul masalah besar dari segi menukar calon, kerana difahamkan banyak pemimpin lama sudah menyatakan pendirian untuk membuka laluan. Cuma yang penting sekarang ini, siapa yang akan mengganti mereka.

Adakah calon dari dalam parti, atau calon yang bukan ahli parti, namun telah menunjukkan dedikasi dalam setiap tugasan yang diberi.

Benar, untuk menjadi seorang wakil rakyat, perwatakan dan pendidikan perlu diadun bersama. Bagi penganalisis politik daripada Universiti Tasmania, Profesor James Chin, beliau menyifatkan pilihan raya kali ini akan menjadi medan tarung sengit di antara dua parti; GPS dan PSB.

“PSB mula bergerak aktif sejak enam bulan lalu, termasuk merekrut tokoh-tokoh boleh menang daripada pelbagai bangsa. Terkini katanya, kemasukan Baru Bian dan See Chee How, untuk mengukuhkan parti tersebut. Namun katanya, bukan mudah untuk menentang kerajaan yang sudah bertahan lama seperti GPS.

GPS datang kepada rakyat bukan dengan tangan kosong, tetapi dengan pelbagai projek pembangunan dan idea untuk membangunkan rakyat dari segi ekonomi dan taraf hidup.

Banyak pihak boleh mengatakan apa-apa sahaja tentang projek ini. Baik projek pilihan raya, atau sekadar mengambil hati rakyat, namun hakikatnya ia bukan dirancang dan dilaksanakan semalaman, atau pada minggu lalu. Sebaliknya projek-projek ini telah dirancang lama, cuma pelaksanaannya lewat berikutan krisis yang berlaku di peringkat Persekutuan.

Malah kata-kata itu ditepis mudah, kerana Jeneral GPS sendiri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sentiasa turun padang untuk merasmikan pecah tanah projek, mengumum projek ataupun menyiasat sendiri keresahan rakyat. Beliau malah turun padang sejak dilantik sebagai Ketua Menteri secara mengejut, tiga tahun lalu, tanpa gagal.

Apabila James meletakkan pertarungan ini hanya tertutup kepada parti tempatan, ia amat tepat. Ini kerana kekuatan parti-parti pembangkang di peringkat nasional sudah hilang, malah mereka berhadapan dalam keadaan yang kucar-kacir.

Ketika PH mula memenangi Pilihan Raya Umum pada Mei 2018, ramai tokoh politik, termasuk daripada GPS sendiri yakin PRN Sarawak selepas itu akan menjadi medan perang yang sengit. Malah dijangkakan semua agensi dan dana ditumpukan untuk menumbangkan Kerajaan GPS, dan ini turut dilaung oleh Pengerusi PH Sarawak Chong Chieng Jen.

Namun apabila berlaku peralihan kuasa akibat Langkah Sheraton pada Februari lalu, selain berantakan yang berlaku dalam parti pembangkang, lebih awal sebelum itu, keadaan menjadi sukar kepada parti-parti tersebut.

Malah tidak mustahil, kerusi yang sedia ada (milik DAP) akan melayang, setelah rakyat menilai kegagalan mereka mentadbir negara dalam tempoh dua tahun tersebut.

Yang pasti rakyat Sarawak akan lebih berhati-hati dan melihat kepada rekod dan kemampuan sebelum memilih. Mereka tidak akan terpesona dengan janji, kerana janji yang diikrar boleh dimungkiri seperti yang berlaku pada PRU yang lalu