KUCHING: Sembilan individu termasuk tiga wanita disyaki terlibat sebagai ejen judi dalam talian berjaya diberkas polis, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak SAC Denis Leong berkata, tangkapan dilakukan hasil serbuan serentak pada dua premis berhampiran kawasan MJC Batu Kawa dan Taman Sri Moyan sekitar jam 5 petang.

Menurutnya, kegiatan terbabit dikenal pasti hasil maklumat risikan serta siasatan pemantauan secara teliti bagi memastikan lokasi kegiatan adalah tepat.

“Hasil serbuan berjaya menahan sembilan suspek yang merupakan warga tempatan masing-masing berusia lingkungan 18 hingga 26 tahun.

“Siasatan mendapati mereka mengoperasikan kegiatan menggunakan aplikasi media sosial WhatApp, Facebook, Instagram, dan Wechat seperti rangkaian talian 918kiss, Mega, LPE88, Joker 123, Mega888 XE88,” jelasnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dedahnya, siasatan turut mendapati pusat 24 jam itu sudah mula beroperasi sejak 11 bulan lalu dengan pendapatan harian sekitar RM11,000.

Tambahnya, turut dirampas termasuk 14 telefon bimbit, lapan unit skrin monitor dan lima set komputer dipercayai peralatan digunakan untuk operasi.

Ujarnya, kes kini disiasat dibawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.