KUCHING: Tindakan pantas pasukan Bomba dan Penyelamat berjaya menyelamatkan restoran The Banquet daripada hangus secara keseluruhan dalam kejadian kebakaran di Jalan Datuk Tawi Sli, Batu 3, di sini, pagi tadi.

Kejadian disedari oleh orang awam susulan kepulan asap tebal keluar daripada bahagian dapur premis berkenaan sebelum melaporkan kejadian kepada pihak bomba.

Ketua Zon 1, PgKB I Henderi Ardimansyah berkata, pihaknya menerima laporan kejadian sekitar jam 7.53 pagi sebelum bersama anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang bergerak ke lokasi.

Tambahnya, seramai lapan anggota BBP daripada Tabuan Jaya turut dikerahkan ke lokasi bagi membantu operasi pemadaman.

Menurutnya, kebakaran melibatkan bangunan restoran berkeluasan 35×45 meter persegi.

“Hasil pemeriksaan mendapati kebakaran mengakibatkan 100 peratus bahagian dapur bangunan terbakar.

“Anggaran keluasan bahagian yang terbakar adalah setengah dari keluasan keseluruhan bangunan,” jelasnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, pemeriksaan lanjut turut mendapati kebakaran tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa dan juga kecederaan.

Susulan itu, ujarnya, operasi pemadaman dan menyelamat seterusnya ditamatkan pada jam 10 pagi.

TEBAL… Asap keluar daripada bahagian dapur ketika kebakaran