SARIKEI: Kegembiraan jelas terpancar pada wajah seorang lelaki kurang upaya apabila nasibnya mendapat perhatian ADUN N.45 Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii.

Chan Fui Man, 25, tinggal berseorangan di Sare di sini selepas kematian ibu bapanya sejak beberapa tahun lalu.

Dia kini bergantung hidup dengan bantuan saudara mara terdekat selain memotong rumput secara kecil-kecilan.

Sehubungan itu, ADUN N.45 Repok melalui pusat khidmat menghantar bantuan makanan kepada lelaki berkenaan, semalam.

“Menurut maklumat yang kami peroleh, lelaki ini dibantu oleh bapa saudaranya yang tinggal tidak jauh dari rumah itu.

“Bagi menampung kehidupan sehariannya, dia melakukan pelbagai pekerjaan.” kata jurucakap pusat khidmat N.45 Repok.

Selain bantuan makanan, pusat khidmat tersebut turut merujuk kes berkenaan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebagai tindakan susulan.

“Kita berharap pihak JKM dapat mengambil tindakan sewajarnya agar nasib lelaki ini terbela,” katanya.

Sementara itu, Huang berkesempatan menyerahkan bantuan Hari Gawai Dayak kepada penduduk rumah panjang di kawasan Repok baru- baru ini.