KUCHING: Terdapat pelbagai sektor dan aktiviti yang dibenarkan untuk beroperasi semula ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) mulai 10 Jun hingga 31 Ogos nanti.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, aktiviti pelancongan domestik akan dibenarkan selaras dengan penjanaan semula ekonomi negara dan tiada lagi sekatan rentas negeri.

“Jadi masyarakat boleh membawa keluarga untuk melancong di dalam negeri dengan mengamalkan kebiasaan baharu (new normal) setelah hampir tiga bulan tidak ke mana-mana.

“Bagaimanapun, bagi yang berhasrat untuk melancong ke luar negara perlu menunggu terlebih dahulu kerana sempadan negara kita masih ditutup,” ujarnya dalam perutusan khas pelaksanaan PKPP, hari ini.

Tambah beliau, sambutan Hari Raya Aidiladha dan ibadah korban akan dibenarkan tertakluk kepada SOP pihak berkuasa agama Islam.

“Untuk solat berjemaah dan aktiviti keagamaan di masjid dan rumah-rumah ibadat pula, kelonggaran untuk membenarkan lebih ramai jemaah hadir mengikut ruang keluasan masjid atau rumah ibadat sedang diperhalusi oleh kerajaan dan akan diumumkan sedikit masa lagi,” katanya.

Dalam hal berkaitan beliau memberitahu bahawa, sekolah akan dibuka secara berperingkat dalam tempoh PKPP setelah mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan. Kementerian Pendidikan akan membuat pengumuman terperinci mengenainya dalam masa terdekat.

“Ketika tempoh pemulihan menuju normalisasi, beberapa aktiviti dan sektor di dalam senarai negatif semasa PKPB akan dilonggarkan atau dibuka berdasarkan SOP yang telah ditetapkan,” jelasnya.

Beliau menegaskan bahawa, terdapat beberapa aktiviti yang tidak dibenarkan untuk beroperasi ketika PKPP dikuatkuasakan nanti.

“Ia termasuk dengan pub, kelab malam, pusat hiburan, pusat refleksologi dan sebagainya,” ujar beliau lagi.

Beliau juga menyatakan, orang ramai yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut senarai aktiviti atau sektor yang dibenarkan dan yang tidak dibenarkan boleh melayari laman web Majlis Keselamatan Negara.