KUCHING: Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) akan membantu peniaga memulakan semula perniagaan mereka terutamanya di Sarawak, kata Menteri Muda Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana dan Usahawan Datuk Mohd Naroden Majais.

Beliau berkata hasrat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memulihkan kembali sektor ekonomi negara berikutan pandemik COVID-19, dapat memenuhi komponen rantaian bekalan perniagaan agar rakyat boleh bergerak dan menjalani kehidupan seperti biasa.

“Dengan bantuan kewangan sama ada dari segi geran, subsidi sewa, pinjaman dan modal yang bertambah selepas bantuan yang lepas, kebanyakan peniaga dapat memulakan perniagaan dan pekerja juga boleh mula bekerja.

“Saya turut berbangga apabila melihat Perdana Menteri dan pasukannya dapat membuat tindakan yang tepat seperti membelanjakan wang demi kebajikan rakyat di seluruh negara dalam masa tidak sampai tiga bulan selepas mengambil alih tampuk utama kerajaan dalam menghadapi krisis COVID-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Muhyiddin mengumumkan 40 inisiatif di bawah PENJANA bernilai RM35 bilion yang sebahagian besarnya disasarkan bagi jaminan pekerjaan termasuk yang berada dalam ekonomi gig, meningkatkan kemahiran semula dan membantu aliran tunai perniagaan.

Antaranya bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat di peringkat pertengahan, kerajaan akan meneruskan pemberian geran dan pinjaman berjumlah RM700 juta untuk membolehkan lebih banyak syarikat melanggan atau menggunakan perkhidmatan digitalisasi.

Selain itu, dalam membantu kelangsungan PKS yang terlibat dalam sektor kepentingan yang disasarkan, sektor perbankan akan menawarkan dana tambahan sebanyak RM2 bilion melalui Skim Pembiayaan PKS PENJANA.

Pembiayaan itu boleh dimohon mulai pertengahan Jun 2020 dengan had sehingga RM500,000 bagi setiap PKS.

— BERNAMA