KUCHING: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang akan berakhir pada 9 Jun ini akan digantikan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang akan bermula pada 10 Jun hingga 31 Ogos.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata dalam tempoh PKPP ini, lebih banyak kelonggaran diberikan untuk menjalani aktiviti kehidupan seharian di samping mematuhi prosedur operasi standard (SOP) secara berterusan.

“Mulai 10 Jun 2020, perjalanan rentas negeri akan dibenarkan kecuali di kawasan yang diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” katanya dalam perutusan khas pelaksanaan PKPP, hari ini.

Beliau menambah hampir semua aktiviti sosial, pendidikan, keagamaan, perniagaan, sektor ekonomi dan sebagainya akan beroperasi semula secara berperingkat dengan pematuhan sepenuhnya kepada SOP.

Selain itu, katanya aktiviti komersial yang melibatkan urus niaga jualan dan pemasaran bukan dalam premis perniagaan juga dibenarkan.

“Termasuk dalam senarai yang dibenarkan juga ialah lawatan ke muzium, indoor busking, dobi layan diri, aktiviti perikanan rekreasi termasuk kolam pancing komersial dan penggambaran filem.

“Mesyuarat dan bengkel juga dibenarkan dengan syarat mematuhi sepenuhnya protokol kesihatan dan mengoptimumkan ruang,” katanya.

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata beberapa jenis sukan dan rekreasi akan dibuka semula dengan pematuhan kepada SOP, termasuk latihan persediaan pasukan permainan sukan, aktiviti sukan yang tidak melibatkan sentuhan badan seperti bowling, badminton, memanah, menembak dan lain-lain.

Katanya aktiviti berkumpulan di luar seperti kayuhan basikal dan konvoi motosikal juga dibenarkan.

“Yang masih tidak dibenarkan ialah pertandingan sukan atau permainan yang melibatkan perhimpunan penyokong atau penonton yang ramai seperti di stadium, sukan renang dan kolam renang awam, dan sukan bersentuhan seperti ragbi, gusti, tinju, bolasepak, bola keranjang dan hoki.