KUCHING: Presiden Persekutuan Persatuan Cina Sarawak, Datuk Richard Wee berharap masyarakat umum dan komuniti peniaga perlu mengekalkan sikap berwaspada terhadap penularan Covid-19, walaupun kelonggaran diberikan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Katanya, setiap orang perlu terus mempraktikkan penjagaan sekali gus meningkatkan kesedaran mengenai kebersihan dan perlindungan diri.

Beliau berkata, kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia harus memberikan garis panduan yang jelas dan komprehensif untuk tempoh PKPP bagi mengelak pertindihan peraturan.

Jelasnya, ia agar orang ramai tidak keliru dengan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sebelumnya.

“Dan kerana jangka waktu PKPP ini lebih lama daripada tempoh PKPB, diharapkan semua agensi pelaksana dan penguat kuasa seperti polis, imigresen, kastam dan dan lain-lain akan diberi penjelasan secara menyeluruh untuk mengelakkan salah faham dengan masyarakat umum,” katanya yang dihubungi, semalam.

Beliau mengulas mengenai pelaksanaan PKPP, yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi perutusan khasnya semalam.

PKPP yang akan bermula pada 10 Jun hingga 31 Ogos adalah bagi menggantikan PKPB yang akan berakhir pada 9 Jun ini.

Sementara, Wee juga berharap agar aktiviti ekonomi dan sosial dapat diteruskan secara berperingkat dengan pematuhan SOP yang ditetapkan oleh KKM.

“Dengan itu, ia akan memulakan ekonomi negara bersama dengan pakej rangsangan yang diumumkan oleh kerajaan,” katanya.