KUCHING: Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak (KWKPK) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terus komited membantu masyarakat yang memerlukan di negeri ini.

Menterinya Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, baru-baru ini surat kelulusan bantuan bulanan diberikan kepada keluarga Rombli Jusni di bawah Skim Bantuan Kebajikan iaitu Skim Bantuan Kanak-kanak.

“Kami berharap keluarga ini akan terus berdikari apabila mereka memilih untuk menjual sayur pucuk paku untuk memperoleh pendapatan.

“Selain daripada mendapatkan bantuan bulanan kebajikan, mereka boleh menampung kehidupan seharian dengan berniaga secara kecil-kecilan,” ujarnya. semasa semasa melakukan

Tindakan Susulan Operasi Intervensi Kesejahteraan Komuniti Sosial Bersama Menteri KWKPK Bil.1/2020 di Rumah Pauziah Rajak (isteri Rombli) di Taman Won Matang.

Fatimah menambah, mereka juga mempunyai harapan yang tinggi untuk anak bongsu keluarga agar berjaya dalam pelajaran.

“Kita akan berbincang dengan keluarga ini supaya mereka mengizinkan kita untuk membawa anak ini tinggal di asrama bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang kondusif,” katanya.

Justeru, Fatimah mengucapkan terima kasih kepada Adun Tupong Fazzrudin Abdul Rahman kerana memberikan bantuan lot tanah dan rumah yang sedang dibina.

“Ia dibina dengan peruntukan YB (Fazzrudin) sendiri dan akan diteruskan pembinaannya.

“Kita juga telah berbincang setelah rumah itu siap kelak. Kami juga akan menyediakan gerai untuk keluarga ini menjual pucuk paku,” jelasnya.

Selain itu, kerja-kerja nyahkuman dan pembersihan ini dilakukan bersama-sama dengan ahli keluarga dan kami membuang barangan yang tidak diperlukan lagi.

Fatimah turut membawa Pauziah dan anaknya ke Pasar Raya Mydin untuk membeli peralatan barangan keperluan sekolah.